KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan majikan mengambil kesempatan atas kelonggaran pengambilan tenaga buruh asing diberikan kerajaan untuk membantu industri, apabila mereka bertindak membuang pekerja tempatan untuk digantikan dengan golongan berkenaan.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, situasi itu seperti yang dilaporkan berlaku di negeri tertentu, membuktikan kegusaran pihaknya terhadap jaminan tugas pekerja tempatan akan terjejas, menjadi realiti.
Menurutnya, sikap terbabit juga akan menyaksikan isu pemberhentian pekerja secara tidak adil akan berleluasa.

“Majikan akan mencari justifikasi yang wajar bagi pembuangan pekerja tempatan.
“Alasan yang biasa digunakan adalah salah laku seperti ingkar arahan, prestasi kerja tidak memuaskan dan pelbagai alasan.
“MTUC menerima aduan ketidakpuasan hati pekerja tempatan yang melakukan kesalahan sama dengan pekerja asing, tetapi hukuman kepada pekerja tempatan berbeza dengan pekerja asing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan seharusnya menjelaskan bagaimana usaha ingin dilaksanakan bagi memastikan pekerja tempatan tidak menjadi mangsa dalam keputusan syarikat berhubung pemberhentian pekerja?
“Apakah imbangan kerajaan jika majikan menyatakan bahawa kuasa pengambilan dan pembuangan adalah hak syarikat?
“MTUC tidak mahu kelonggaran kemasukan pekerja asing akan mendedahkan negara kepada amalan buruh paksa dan buruh kanak-kanak.
“Ekploitasi pekerja asing akan meningkat disebabkan kebanjiran pekerja asing,” katanya.
Kamarul Baharin berkata, sikap majikan itu menyaksikan amaran kerajaan untuk mengambil tindakan denda sebanyak RM50,000 kepada syarikat yang gagal memenuhi akta pemburuhan, termasuk membabitkan pekerja tempatan tidak menakutkan mereka.
Ujarnya, ia jelas apabila syarikat tidak mengendahkan dan tidak melaksanakan perintah gaji minima, akta kerja dan standard perumahan pekerja.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu menjalankan pemeriksaan berkala kepada syarikat untuk memastikan majikan tidak mengamalkan diskriminasi.
“Amalan pemeriksaan berkala adalah langkah penting untuk memastikan segala akta pemburuhan dipatuhi majikan,” katanya.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dilaporkan memberi amaran bahawa kementeriannya akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat, sekiranya mereka didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing.
Tegasnya, majikan atau syarikat itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.
Sivakumar turut memaklumkan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri sudah melaksanakan Pelan Kelonggaran Pengajian Pekerja Asing (PKPPA) bermula 17 Januari sehingga 31 Mac ini
Katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrhim, amat prihatin dengan keperluan mendesak berkaitan kekurangan guna tenaga, khususnya membabitkan buruh asing di sektor industri yang kritikal.
Pelaksanaan PKPPA, ujarnya, bertujuan menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing di lima sektor kritikal, iaitu perladangan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).
Malah, beliau menasihatkan majikan bahawa setiap kekosongan pekerjaan di dalam negara ini, perlu diberi keutamaan kepada rakyat dan pekerja tempatan. – Getaran, 2 Mac 2023