KUALA LUMPUR - Pasukan khas yang bakal ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khusus untuk menangani aktiviti pornografi kanak-kanak perlu menyediakan pakar teknologi maklumat (IT) terbaik merangkumi badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Aktivis Hak Asasi Manusia, Jerald Joseph berkata, aktiviti pornografi kanak-kanak sebahagian besarnya tertumpu di alam siber, terutamanya membabitkan penyebaran bahan dan urus niaga penjualannya dalam keadaan dunia dilingkari kecanggihan teknologi tanpa sempadan.

Jelasnya, hal tersebut perlu dipandang serius oleh pasukan khas berkenaan, supaya memiliki keupayaan untuk mengekang aktiviti tersebut terutamanya membabitkan ‘darkweb’.
“Apabila bercakap soal ‘darkweb’ ia memerlukan kepakaran tinggi dalam bidang IT untuk mengenal pasti sumber bahan dan individu yang menyokong supaya perbuatan jijik itu dapat dihentikan.
“Justeru, saya melihat, penubuhan pasukan khas ini amat diperlukan memandangkan isu ini sangat serius dan mendedahkan kanak-kanak Malaysia kepada bahaya,” katanya kepada Getaran.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sebuah pasukan khas akan ditubuhkan di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) bagi membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak.
Beliau berkata, penubuhan pasukan khas tersebut membolehkan Bahagian D11 PDRM bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes seksual, wanita dan kanak-kanak.
Jelas Jerald berkata, PDRM bagaimanapun perlu mendapatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan antarabangsa untuk merealisasikan misi tersebut, sekali gus menangani jenayah seumpama itu dengan lebih berkesan.
“Apa yang diperlukan adalah selain pakar IT yang hebat, polis juga perlu mendapatkan kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), NGO kanak-kanak, Kementerian Pendidikan dan sebagainya.
“Semua pasukan bertugas juga harus diberi latihan berkaitan hak kanak-kanak antarabangsa supaya lebih bersedia,” katanya.
Pada Mei tahun lalu, Ketua Penolong Pengarah D11 Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dilaporkan berkata, polis menerima 93,368 protokol internet (IP) beralamat di negara ini yang disyaki terlibat dengan pornografi kanak-kanak, sekitar tahun 2017 dan Mac 2022.

Maklumat berkenaan diterima menerusi sistem perkongsian membabitkan Interpol, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan National Center For Missing and Exploited Children.
Katanya, kesan daripada kekurangan anggota terlatih menapis dan meneliti maklumat diterima, hanya 103 alamat IP berjaya diperiksa yang membawa kepada penahanan 50 individu.
Menyuarakan pendapat sama, Perunding IT, Mohd Ridzman Azzahari berkata, penubuhan pasukan khas tersebut sepatutnya sudah lama dilaksanakan memandangkan aktiviti pornografi membabitkan kanak-kanak di negara amat serius.
Jelasnya, pada masa kini penjualan bahan pornografi kanak-kanak bukan saja tertumpu di ‘darkweb’ yang memerlukan kepakaran IT untuk dilayari oleh seseorang individu, malah aktiviti tersebut kini boleh diperoleh melalui aplikasi Telegram.
“Darkweb ini terlalu besar untuk diperkatakan. Ia bukan saja menjadi port penjualan bahan pornografi kanak-kanak malah turut digunakan untuk melakukan urus niaga haram seperti penjualan senjata api, dadah dan sebagainya di peringkat antarabangsa.
“Apa yang merunsingkan adalah, bahan tersebut kini sangat mudah untuk dimiliki iaitu dengan hanya memuat turun aplikasi Telegram. Di situ terlalu banyak urus niaga bahan berkenaan tanpa batasan,” katanya.
Mohd Ridzman yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam aktiviti kemasyarakatan dengan memberikan kesedaran terutamanya kepada golongan murid dan pelajar sekolah berkaitan bahana media sosial berkata, pasukan khas yang akan ditubuhkan perlukan kepakaran IT untuk menjejak dan memancing IP individu bertanggungjawab menyebarkan atau menjual bahan tersebut di dunia siber.
Jelasnya, untuk melaksanakannya, pasukan tersebut memerlukan kepakaran IT dan teknologi yang tepat, lebih-lebih lagi melibatkan transaksi tanpa wang konvensional.
“Perkara ini amat rumit kerana terdapat pelbagai platform boleh digunakan penjual dan pembeli tanpa melakukan transaksi kewangan konvensional, antaranya urus niaga menggunakan wang kripto atau bitcoin dan beberapa aplikasi lain.
“Ini yang perlu diperhalusi supaya tindakan diambil dapat memberi impak kewangan kepada penjual,” katanya.
Sementara itu, Pakar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Hanim Abd Jalil berkata, terdapat pelbagai kesan negatif boleh menimpa kanak-kanak yang terdedah kepada bahan pornografi, antaranya ketagihan atau kemurungan.
Jelasnya, jika kanak-kanak tersebut didedahkan kepada bahan pornografi seperti video lucah, ia boleh mengakibatkan golongan tersebut menjadi ketagihan untuk melakukan onani.
“Jika kanak-kanak tersebut adalah mangsa, seperti video mereka tersebar, ia akan mengakibatkan mereka menjadi kemurungan dan boleh mengakibat tindakan luar batasan iaitu membunuh diri.
“Hal tersebut boleh berlaku apabila mereka mula mengasingkan diri daripada keluarga dan masyarakat kerana malu diejek kawan-kawan serta tidak sanggup berhadapan dengan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, kesan terhadap perkembangan mental kanak-kanak tersebut pastinya mengganggu kehidupan seharian mereka dalam meniti hari dewasa.
“Justeru, penting untuk ibu bapa memantau aktiviti anak-anak mereka di media sosial atau kehidupan seharian supaya tidak menjadi mangsa atau terdedah kepada bahan pornografi bagi mengelakkan perkara buruk menimpa mereka.
“Kanak-kanak adalah golongan rapuh dan memerlukan sokongan keluarga untuk membesar dengan sihat namun jika terdedah kepada perkara-perkara negatif, kesihatan mental mereka mudah terganggu,” katanya. - Getaran, 1 Mac 2023