Berita Terkini

9 jam yang lalu: Anwar puji sikap Hun Sen yang hormati kaum Muslim 9 jam yang lalu: Anwar bakal umum pelaburan penting baharu semasa lawatan ke China 9 jam yang lalu: Bazar Ramadan Rahmah di 38 lokasi seluruh negara 9 jam yang lalu: Karate sasaran lubuk emas negara di Sukan SEA - CDM 9 jam yang lalu: Malaysia-Turkiye boleh terokai kerjasama baharu industri aeroangkasa - Ahmad Zahid

IKUTI KAMI


Anwar Berlepas Ke Turkiye, Dijadual Berjumpa Pasukan SMART

Semasa Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 15 Feb 2023 7:00AM

Anwar dilaporkan berlepas pada kira-kira jam 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. - Gambar daripada Facebook Anwar Ibrahim

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye lewat malam tadi bagi menunjukkan sokongan moral kepada Presiden negara berkenaan, Reccep Tayyip Erdogan dan rakyatnya yang berdepan gempa bumi Isnin minggu lalu.

Ia dimaklumkan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook.

Pesawat khas membawa Anwar dilaporkan berlepas pada kira-kira jam 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

“Dengan izin Allah, malam ini saya berangkat ke Turkiye bersama Menteri Luar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan delegasi Malaysia.

“Sejurus tiba di sana, saya akan ke Gaizantep bagi melihat sendiri kawasan bencana yang terjejas, selain berjumpa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kita yang ditugaskan membantu operasi carilamat mangsa gempa bumi,” katanya.

Anwar berkata, beliau percaya, kumpulan SMART berkemampuan dan mempunyai semangat jati diri tinggi, seperti ditunjukkan sebelum ini sehingga mampu membawa keluar mangsa yang masih hidup.

“Perjalanan saya dan delegasi kemudian diteruskan pula ke Ankara bagi menemui rakan sejawat saya, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bagi menunjukkan sokongan moral kepada negara yang dilanda gempa bumi itu awal minggu lalu,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri memohon seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan perjalanan delegasinya dipermudahkan urusan di Turkiye.

Terdahulu, malam tadi, Anwar berkata, keputusan ke negara berkenaan diambil bagi memberi semangat kepada Erdogan yang dilihat begitu terkesan dengan bencana terbabit.

“Iya, saya dah buat keputusan kerana rayuan daripada Presiden (Erdogan) dan saya bila kali kedua berucap menyampaikan pesan nampak dia terlalu terkesan.

“Jadi saya ingat sahabat-sahabat harus ada untuk berikan semangat dan bukannya kepada beliau sebagai Presiden, tetapi juga kepada rakyat walaupun kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya ketika ditanya selepas sidang Parlimen di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, pada mulanya beliau enggan ke Turkiye, memandangkan Malaysia sudah menghantar bantuan, iaitu menerusi SMART serta pasukan perubatan ke negara berkenaan.

“Tetapi saya lihat kesan kepada Presiden dan kepimpinan itu dia rasa sahabat-sahabat harus bersama,” katanya.

Jelas Anwar, beliau akan bergegas pulang semula ke tanah air petang esok, bagi menghadiri mesyuarat serta beberapa pertemuan yang sudah ditetapkan.

“Pertamanya, urusan Parlimen perlu bersidang dan keduanya, beberapa pertemuan yang dibuat sukar saya pinda. Mesyuarat Majlis Kemajuan Umat Islam dan sebagainya.

“Maknanya sebelum pagi Khamis saya sampai (ke tanah air),” katanya.

Pada 6 Februari lalu, gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter melanda kawasan selatan Turkiye yang turut menggegarkan Syria.

Sehingga semalam, dilaporkan bilangan kematian di Turkiye mencecah 31,643 orang dan 106,428 cedera, manakala di Syria, 5,329 maut serta 14,500 mengalami kecederaan. - Getaran, 15 Februari 2023

Sorotan

1

Benar Kata PM, KWSP Hanya Patut Dikeluarkan Selepas Bersara – MTUC

2

Sudah Tiba Masa Perkasa Pengurusan Air

3

Dakwa Difitnah, Guan Eng Saman Muhyiddin

Disyorkan untuk anda

Semasa 9 jam yang lalu

Korupsi Dalam Kalangan Anggota Penguat Kuasa Semakin Kronik, Membimbangkan - SPRM

Semasa 18 jam yang lalu

Lawatan Arab Saudi: Rakyat, Pembangkang Harus Pertahan Anwar, ‘Ini Maruah Negara’

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

Agong, Raja Permaisuri Berbuka Puasa Bersama PM, Jemaah Menteri

Semasa 17 jam yang lalu

Dakwa Difitnah, Guan Eng Saman Muhyiddin

oleh Wartawan Getaran