BUKIT MERTAJAM - Selepas dikecam ramai pihak berhubung pemberian bantuan sebuah motosikal kepada seorang pekerja penghantar makanan Food Panda, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong menampilkan penerima bantuan tersebut dalam sidang media khasnya hari ini.
Pekerja Food Panda, Anas Hazmi Ahmad, 22, ketika ditemui media berkata beliau berasa amat marah dan sedih terhadap pihak yang mempertikaikan kerja kebajikan dilakukan oleh Steven.
Anas yang juga penuntut Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak berkata, beliau yang meminta Steven tidak mendedahkan butiran peribadinya kepada mana-mana pihak, kerana berasa tidak selesa jika dikenali ramai.
“Saya menerima bantuan daripada Steven berupa sebuah motosikal jenis Honda Dash 125 yang telah didaftarkan di bawah nama saya sendiri.
“Saya juga yang minta Steven merahsiakan nama saya dan untuk itu, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana sanggup diserang dan dituduh macam-macam hanya untuk menuruti permintaan itu,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, hari ini.
Anas berkata, beliau terkejut apabila usaha Steven untuk membantu dirinya itu menjadi tular di media sosial, sehingga ada pihak yang menawarkan ganjaran RM2,000 semata-mata bagi membuktikan kewujudannya.
“Saya bukan seorang penjenayah, mengapa sanggup buru saya dan tergamak pula menawarkan RM2,000?
“Saya mohon hentikan fitnah terhadap Steven dan gangguan terhadap saya dan keluarga saya,” kata anak keempat daripada 10 adik beradik ini.
Sementara itu, Steven berkata, beliau pada mulanya enggan melayan kecaman netizen namun mula berasa marah apabila mengetahui mengenai tawaran harga yang dibuat untuk 'memburu' Anas.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembelian motosikal itu dilakukan menggunakan wangnya sendiri, bersama seorang lagi penderma yang enggan identitinya dikenali.
“Sejujurnya saya memberitahu, saya langsung tidak tahu apa-apa perkara mengenai motosikal. Saya hanya membayar RM4,500 menggunakan duit poket saya sendiri dan dibantu oleh seorang lagi penderma.
“Harga sebenar motosikal itu saya tidak tahu. Tetapi apa yang lebih penting saya mahu membantu Anas yang melakukan kerja sambilan dan sedang membuat latihan industri di Bukit Mertajam,” katanya.
Terdahulu, seorang pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff menawarkan sejumlah RM2,000 kepada sesiapa yang boleh memberikannya maklumat mengenai seorang penghantar makanan Food Panda yang dibantu oleh Steven.
Dr Kamarul dalam tulisannya di Facebook berkata, saguhati akan diberikan kepada sesiapa sahaja yang mampu memberikan maklumat seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu.
Minggu lalu, Steven dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Kamarul kerana didakwa membuat tohmahan dan mengaitkan isu agama terhadap kerja amal yang dilakukannya. – Getaran, 28 April 2021
