KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memberi komen di media sosial mengenai isu kemasukan pelancong China ke Malaysia, susulan keputusan republik itu membuka semula sempadan negaranya pada 8 Januari ini.
Menteri Pelancongan, Tiong King Sing berkata, langkah itu bertujuan memastikan hubungan persahabatan antara Malaysia dan China tidak terjejas.
Malah, katanya, ia penting bagi mengelak wujud persepsi dalam kalangan pelancong China yang merasakan kedatangan mereka tidak dialu-alukan ke negara ini.

“Walaupun ketika ini, beberapa berita terutama di platform media sosial membuat laporan negatif mengenai keputusan China membuka semula sempadan negaranya, saya ingin mengambil kesempatan ini menggesa orang ramai supaya berhati-hati dalam berkata-kata dan tindakan mereka.
“Jangan membuat komen yang tidak mesra sebelum anda mengetahui gambaran penuh secara keseluruhannya. Jangan menjejaskan persahabatan antara Malaysia dan China atau membuatkan pelancong China berasa kita tidak mengalu-alukan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, sebarang persoalan atau keraguan berhubung isu itu perlulah disuarakan mengikut saluran betul.
“Berkomunikasi, bincangkan strategi yang baik, mencari penyelesaian menang-menang dan menghadapinya bersama-sama.
“Dengan pembukaan sempadan China, ia dipercayai akan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Terdahulu, CNBC menamakan Malaysia antara 10 negara paling diminati pelancong China untuk bercuti ketika sambutan Tahun Baharu Cina, susulan keputusan pihak berkuasa negara berkenaan menarik balik sekatan COVID-19 untuk rakyatnya.
Negara lain yang disenaraikan adalah Jepun, Thailand, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Singapura, Australia dan United Kingdom.
Dua lagi negara yang berada dalam 10 carta teratas itu ialah Macau dan Hong Kong.
Susulan itu, beberapa pihak meminta kerajaan mengambil langkah menyekat dahulu kemasukan pelancong dari China berikutan ketika ini, keadaan penularan jangkitan virus COVID-19 di republik berkenaan masih teruk.
Tindakan membenarkan kemasukan pelancong China ketika ini juga, dikhuatiri menyebabkan peristiwa awal 2020 berulang apabila kerajaan lewat mengambil tindakan sekatan ketat sehingga virus itu menular dalam negara.
Susulan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan dengan menetapkan semua pengembara yang tiba dari luar negara, termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa dan sekiranya dikesan bergejala, akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.
Pemantauan di pintu masuk juga diperkukuh dengan pengambilan sampel air kumbahan daripada pesawat yang datang dari negara China dan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR, seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menggesa orang ramai yang sudah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan, agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.
Beliau berkata, ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.
Katanya, saranan itu antara sebahagian langkah KKM untuk meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara, selain kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan virus terbabit.
“KKM amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutama dalam kalangan golongan berisiko.
“Ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja sudah mengambil vaksin dos penggalak kedua.
“Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin COVID-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala teruk akibat jangkitan COVID-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya. – Getaran, 2 Januari 2023