KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 tidak akan dibahaskan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan,tiada keperluan untuk perbahasan peruntukan khas (Bajet Mini) dilakukan kerana ia telah ditetapkan menerusi perincian dalam buku belanjawan.
“Saya gabungkan dua aspek dalam usul saya, pertama disebut (Yang Berhormat) Arau (iaitu) emolumen adalah betul. Saya gabungkan anggaran perbelanjaan dan ingat anggaran perbelanjaan tahun 2023. Jadi, digabungkan tak boleh bahas yang pertama (bajet mini).
“Tidak ada perbahasan bagi aspek pertama emolumen itu. Dalam ada peraturannya tidak boleh dibahaskan kerana telah ditetapkan dalam perincian buku belanjawan,” katanya ketika membacakan usul bajet mini di Dewan Rakyat, hari ini.
.jpg)
Anwar berkata, perbahasan berkenaan tidak perlu dilakukan kerana kerana tiada peruntukan akan disalurkan untuk pembangunan baharu.
“Namun, kalau Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat) nak bagi ruang untuk perbahasan sedikit, saya tiada masalah cuma nak sebut di sini, prinsipalnya tiada perbahasan kerana tiada pembangunan baharu.
“Ini terkait dengan peruntukan yang ada dan boleh dibahaskan dalam belanjawan tahun depan namun kalau nak beri ruang (Ahli Parlimen berbahas) saya tiada masalah,” katanya.
Kenyataan itu membuatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencelah, kerajaan tidak akan mampu menerima kritikan lantang daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya mahu mempersoalkan perkara itu selepas ini.
Beliau berkata, Anwar seharusnya bersikap terbuka agar pembentangan bajet mini dibahaskan kerana ia merupakan perbincangan positif yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat.
“Oleh kerana Yang Berhormat Tambun dah gabungkan, kami di sini (pembangkang) faham cuma apabila dibenarkan untuk kita membincangkan, jangan pula nanti mempersoalkan apabila kita menyentuh bab-bab pertama itu kerana seperti Pendang kata tadi, kalau ada perinciannya di depan, tak perlu untuk persoal.
“Namun, ramai daripada Ahli Parlimen (PN) adalah baharu. Oleh sebab itu, pembentangan ini walau kewangannya untuk tahun sekarang tetapi kalau nak dipersoalkan saya rasa apa salahnya.
“Yang Berhormat Tambun boleh jawab pun kerana perincian sahaja. Saya rasa Tambun adalah terbuka dengan sifat untuk tentukan (adakan perbahasan) ini untuk kepentingan bersama,” katanya.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, perbahasan dilihat lebih sesuai untuk dilaksanakan apabila kerajaan telah bersedia untuk membentangkan Bajet 2023 tahun hadapan.
“Saya tiada masalah, asalkan kita terikat dengan Perkara 68 B (iaitu) hal perkara dengan perincian namun tidak boleh sentuh pasal dasar kerana akan masuk dalam belanjawan sebenar.
“Ini kerana ia akan mengambil masa dan tidak akan selesaikan masalah kerana apa kita bincangkan ini jumlah spesifik untuk kegunaan terurus supaya kita tidak lewat ,” katanya. - Getaran, 20 Disember 2022