KUALA LUMPUR – Perdana Menteri sudah mengarahkan misi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm berhampiran jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands, dijalankan secara rapi dan sistematik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut meminta beberapa menteri yang dimaklumkan akan turun ke lokasi hari ini, tidak mengganggu kerja mencari dan menyelamat.
“Dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highland.
“Saya telah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Besar Selangor terkait misi mencari dan menyelamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, beliau juga akan turun ke lokasi bagi meninjau keadaan malam ini.
“Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi ini dan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang, BBP Genting Highlands, BBP Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas digegaskan ke lokasi.
Beliau berkata tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik itu menghempap tapak perkhemahan yang berdekatan dengan jalan.
“Maklumat awal pihak polis terdapat 100 orang yang berada di tapak perkhemahan itu yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan.
“Ketika ini misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan bersama pasukan STORM,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Getaran melaporkan, pihak bomba memaklumkan dua disahkan meninggal dunia, manakala tiga cedera dan 51 masih belum ditemui dalam kejadian itu setakat jam 9 pagi tadi.
“Seramai 23 orang selamat, dua orang meninggal dunia, tiga orang cedera dan 51 orang masih tidak ditemui.
“Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan JBPM serta dibantu beberapa agensi, iaitu Persatuan Bomba Sukarela, Bomba Swasta, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan SMART. – Getaran, 16 Disember 2022