KUALA LUMPUR - Pemimpin Barisan Nasional (BN) tiba di Menara Dato Onn di sini untuk mengadakan mesyuarat bagi membuat keputusan berhubung sokongan ‘en bloc’ (satu parti)
Antara pemimpin parti itu yang dilihat berada di lobi Menara berkenaan adalah Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin and Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Ikuti perincian kami mengenai perkembangan mesyuarat itu yang dibawakan secara langsung daripada Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini. – The Vibes, 22 November 2022
3:51 petang: Kenderaan membawa Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat keluar dari pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya untuk ke Istana Negara.
Turut kelihatan menaiki kenderaan sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
3.33 petang – Lebih ramai Ahli Parlimen memasuki pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang mesyuarat pada 4 petang ini. Mereka termasuk Ahli Parlimen Sekijang Zaliha Mustafa dan Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan.
Ditanya mengenai kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa BN akan kekal sebagai pembangkang, Ramanan berkata: “Kami menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.”
3.25 petang: Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata tiada mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telah memberikan sokongan terhadap pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Beliau juga meminta semua pihak yang berkaitan agar bertenang (cooling-off period) ketika mendepani situasi politik negara
3.21 petang: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, beliau menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat di pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan jam 4 petang ini.
Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan secara terperinci berhubung perkara itu.
3.00 petang : Pemimpin PH lain yang berada di pejabat Anwar Ibrahim termasuklah Rafizi Ramli dan Adam Adli (PKR), Anthony Loke (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).
2.56 petang : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di pejabat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya. Apabila ditanya adakah Anwar akan mengangkat sumpah petang ini, beliau cuma berkata, "Doakan."
2.48 petang : Dalam sebuah sidang media di ibu pejabat MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata parti itu bersedia untuk menjadi pembangkang, "untuk memberi semak dan imbang"
2.28 petang : BN akan kekal pembangkang buat masa ini: Ismail Sabri, pemimpin MIC
2.20 petang : Presiden MIC, bersependapat dengan kebanyakan pemimpin BN. Tambahnya, gabungan itu akan menjadi pembangkang, tetapi "buat masa ini."
2.15 petang : Datuk Seri M Saravanan (MIC) berkata, "semuanya bersetuju untuk menjadi pembangkang" dan "tidak menyokong sesiapa". Kami tidak akan bergabung dengan sesiapa."
2.05 petang : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sudah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.
Tegas beliau, BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).
Katanya, setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang.
1:21 petang: Kenderaan pengiring polis dan helikopter dilihat berdekatan kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang.
1.15 petang: Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN telah membuat keputusan mengenai siapa akan disokong parti itu sebagai ‘gabungan’ dan bakal mengumumkannya tidak lama lagi.
Beliau juga berkata, mesyuarat sebelum ini berjalan lancar dengan kesemua 30 Ahli Parlimen BN bertindak secara solidariti bersama.

12:50 tengah hari: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, adalah lebih baik Barisan Nasional (BN) berperanan sebagai pembangkang, sekiranya masih tiada persefahaman dan kata putus berhubung kemelut pembentukan kerajaan baharu.
Beliau berkata, ketika ini, terdapat banyak spekulasi mengenai apa yang sedang berlaku.
“Dalam apa jua formula atau rundingan, pendirian saya jelas dan tidak akan saya kompromi.
“Sekiranya masih tiada persefahaman dan kata putus, adalah lebih baik BN berperanan sebagai pembangkang dan saya bersedia untuk itu,” katanya menerusi ciapan Twitter hari ini.
Hishammuddin berkata, apa juga yang terjadi, beliau akan tetap setia bersama UMNO dulu, kini dan selamanya.
“(Saya) akan bekerja keras demi memulihkan UMNO dan BN bersama rakan-rakan lain,” katanya.
12.30 tengah hari: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu pemberita supaya menunggu ‘kenyataan rasmi’ daripada pejabat Setiausaha BN mengenai keputusan parti itu.
12.08 tengah hari : Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon secara ringkas berkata kepada media bahawa ‘satu keputusan sudah dibuat, mereka sedang bertemu Ahli Parlimen sekarang’.

