web statsweb stats

Berita Terkini

20 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 20 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Lokman Adam Kekal Dipenjara Sebulan, Hina Mahkamah Berkaitan Kes 1MDB

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Oct 2022 2:07PM

Lokman Noor Adam - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PUTRAJAYA - Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kekal dipenjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan hari ini yang menolak rayuan Lokman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Julai tahun lepas.

Panel tiga hakim itu turut menolak rayuan silang dikemukakan pendakwaan terhadap hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Bagaimanapun panel tiga hakim itu membenarkan permohonan peguam yang mewakili Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Che Mohd Ruzima, yang membacakan keputusan hari ini, berkata fakta berhubung perlakuan yang membawa kepada tindakan yang diambil terhadap perayu (Lokman) tidak dipertikaikan kerana ia berpunca daripada satu laporan polis yang dibuat perayu pada 3.24 petang, 25 Sept 2019 dan satu kenyataan media dibuat pada hari sama, pukul 6.33 petang.

Katanya mahkamah telah meneliti laporan polis itu dan transkrip kenyataan media dan hasil penelitian terhadap laporan polis itu, ia boleh diklasifikasikan sebagai satu laporan utama mengikut Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah.

"Cuma di akhir ayat laporan polis itu yang perlu diberi perhatian oleh mahkamah.

“Ayat tersebut berbunyi 'adalah tidak masuk akal Datuk Seri Najib orang yang teraniaya akibat namanya digunakan oleh manusia-manusia durjana didakwa mencemar imejnya sedangkan mereka memperoleh manfaat daripada kelakuan jenayah ini bebas dan tidak didakwa pula' adalah tidak perlu sekiranya perayu benar-benar berhasrat untuk menjalankan kewajipan awam bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Bagi kami perkataan manusia durjana dan mereka yang memperoleh manfaat daripada kelakuan jenayah ini bebas dan tidak didakwa pula sudah tentu merujuk kepada Datuk Amhari Efendi," katanya.

Hakim Che Mohd Ruzima berkata tindakan perayu membuat kenyataan media mengulas laporan polis dan ditambah dengan ungkapan dan kata-kata yang tidak sepatutnya juga menyebabkan laporan polis yang dibuat oleh perayu tidak boleh dilindungi.

"Kami berpandangan bahawa tiada silapnya keputusan yang diambil oleh Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan perayu bersalah atas menghina mahkamah. Terdapat fakta yang menunjukkan perayu berniat untuk membuat laporan polis dan membuat kenyataan media.

“Mahkamah juga mendapati bahawa tiada silapnya keputusan dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila memutuskan perbuatan-perbuatan perayu telah mengganggu pentadbiran keadilan. Oleh itu, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan perayu," kata hakim itu.

Berhubung rayuan silang pendakwaan, Hakim Che Mohd Ruzima berkata tiada alasan munasabah untuk mahkamah mengganggu hukuman penjara yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Tinggi.

"Hakim itu telah membuat pertimbangan berhubung kesalahan yang dilakukan, seriusnya kesalahan itu dan kepentingan awam semasa membuat keputusan, Oleh itu, hukuman (penjara) yang dijatuhkan terhadap perayu adalah wajar dan munasabah. Rayuan pendakwaan ditolak," kata hakim berkenaan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan  dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.  

Pada 14 Januari 2020, Hakim Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Thomas dan kegagalan beliau dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya Lokman dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Thomas pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya matlamat atau tujuan tindakan Lokman ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. - Bernama

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Isu Rohingya Perlu Pendekatan Menyeluruh, Babit Pelbagai Agensi - Ayob Khan

oleh Sophia Ahmad

Politik 20 jam yang lalu

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

oleh Sophia Ahmad

Semasa 15 jam yang lalu

Dakwaan Peranan Bebas Rais Yatim Jadi Tanda Tanya, Surat Lantikan Sebagai Peguam Tersebar Luas

oleh Sophia Ahmad

Semasa 14 jam yang lalu

‘Pelarian Rohingya, Patuhi Undang-Undang Atau Berdepan Tindakan’ - PM 

oleh Wartawan Getaran