KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya tiga peguam mewakili ahli perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis, yang ditangkap di Venezuela pada Selasa selepas melarikan diri dari tahanan rumah di Amerika Syarikat (AS), kini berhasrat untuk menarik diri daripada mewakilinya di mahkamah.
Ini berlaku ketika Leonard yang dikenali dengan nama samaran 'Fat Leonard', kini sedang bersedia untuk ekstradisi ke AS.
Menurut Interpol, dia dipercayai merancang untuk melarikan diri ke Rusia.
The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Devin Burstein, seorang peguam mewakili Leonard sebagai berkata semalam bahawa dia dan dua peguam lain dari firma guamannya merancang untuk menarik diri sebagai penasihat undang-undang lelaki itu pada perbicaraan akan datang.
Terdapat juga tiga peguam lain disenaraikan sebagai representasinya dalam rekod mahkamah, lapor WSJ.
Bagaimanapun, akhbar itu melaporkan bahawa peguam lain tidak memberi sebarang maklum balas berhubung perkara tersebut.
Leonard yang dibesarkan di Pulau Pinang, ditahan atas notis merah Interpol di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar dekat Caracas, ibu negara Venezuela.
CBS News sebelum ini melaporkan bahawa Leonard cuba menaiki penerbangan ke Cuba apabila dia ditangkap.
Bagaimanapun, menurut laporan terbaru WSJ yang memetik Interpol, Francis difahamkan telah merancang untuk terbang ke Rusia.
Ia memetik Ketua Pengarah Interpol di Venezuela, Carlos Gárate Rondón sebagai berkata, bahawa Francis telah ditahan di lapangan terbang, yang terletak di Maiquetía, kira-kira 21 kilometer (km) dari pusat bandar Caracas.
Rondón berkata, Leonard yang merancang terbang ke Rusia, terlebih dahulu singgah di Mexico dan Cuba.
WSJ turut memetik Timbalan Penyelia Marsyal AS, Omar Castillo sebagai berkata, pegawai percaya Leonard menaiki penerbangan tanpa menggunakan alias.
Dia akan diterbangkan ke AS tidak lama lagi.
Marsyal AS percaya Leonard telah melarikan diri ke Mexico selepas berjaya meloloskan diri dari rumahnya di San Diego berhampiran sempadan pada 4 September lalu. – Getaran, 23 September 2022

.jpg)