Berita Terkini

4 jam yang lalu: Pegawai polis yang terbunuh di Stadium Kanjuruhan dinaikan pangkat 4 jam yang lalu: Arab Saudi bakal anjur sukan musim sejuk Asia 2029 di Trojena 4 jam yang lalu: MIDA, HDC meterai MoU bagi perkasa kapasiti industri halal 4 jam yang lalu: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS 4 jam yang lalu: Polis Pahang lupus rokok tidak bercukai bernilai lebih RM2.8 juta

IKUTI KAMI


Ismail Sabri Pastikan Hak Sabah, Sarawak Dalam Perjanjian Malaysia 1963 Terpelihara

Semasa Dikemaskini 2 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 16 Sep 2022 10:30PM

Ismail Sabri Yaakob diarak dengan menaiki beca semasa menghadiri sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan dekat Banda Hilir malam ini. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terpelihara.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Majlis Khas Mengenai MA63 berkata majlis khas itu bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri itu.

“Pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu, kerajaan Persekutuan telah menyatakan jaminan untuk memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak. Umpama peribahasa, bersukat sama paras, bertimbang sama berat, kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion untuk Sarawak pada tahun ini, bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam ini.

Ismail Sabri berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat pada 14 Dis 2021, bukti kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan, untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut mengimbau kembali sejarah penubuhan Malaysia dengan hasrat penubuhannya disuarakan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, buat pertama kali ketika Persidangan Wartawan-Wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara, iaitu di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

Menyifatkan proses untuk membentuk Malaysia bukan satu yang mudah, beliau berkata segala cabaran membuktikan bahawa tiada jalan pintas dalam melahirkan sebuah negara bangsa berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kerana menagih pengertian dan memerlukan kesabaran para pejuang.

“Sejarah panjang menyaksikan, bukan mudah untuk membentuk Malaysia. Membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak termasuklah Singapura. Rintangan yang hadir ketika itu bersifat dalaman dan luaran, termasuklah pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, cabaran ekonomi, kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa.

“Pun begitu, biar seribu halangan yang merintangi, Alhamdulillah setiap satu yang keruh, berjaya dijernihkan dengan kesungguhan dan kebijaksanaan oleh pejuang-pejuang terdahulu,” katanya.

Perdana Menteri berkata nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Mohammad Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Tun Jugah Anak Barieng dan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha, adalah antara tokoh-tokoh yang telah menoktahkan rundingan penubuhan Malaysia dan pejuang yang mewariskan kemakmuran yang dinikmati kini.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional.

“Tanggal keramat 16 Sept wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan. Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya. - Bernama

Sorotan

1

Kandungan Sumbang: Pelakon Zul Ariffin Didenda RM30,000

2

Wai Ching Cipta Rekod Baharu Di Space Needle, Seattle

3

‘Saya Akan Sekolahkan Kamu, Harap Guan Eng Tak Kecut’ - Saravanan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Halang Rakyat Malaysia Kerja Di Kemboja Sehingga Sindiket Dibanteras

oleh Sofian Baharom

Semasa 5 jam yang lalu

Zeti Tahu Najib Akan Terima US$100 Juta Daripada Arab Saudi - Saksi

Semasa 1 hari yang lalu

PM Ke Istana Negara Tidak Benar, ‘Tuanku Masih Di Singapura’

oleh Wartawan Getaran

Semasa 15 jam yang lalu

Pekerja Kontrak Pembersihan Sekolah, Hospital Tidak Akan Diserap Sebagai Kakitangan Awam