Berita Terkini

9 jam yang lalu: Seludup dadah, 9 PATI Thailand ditahan di Korea Selatan 9 jam yang lalu: Afghanistan terima bantuan tunai US$40 juta 9 jam yang lalu: Dewan Rakyat lulus pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 9 jam yang lalu: Pemimpin parti politik komited capai sasaran 30 peratus wanita calon PRU-15 12 jam yang lalu: DUN Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hanya akan bubar tahun hadapan - Majlis Presiden Pakatan Harapan

IKUTI KAMI


Keputusan Permohonan Diraja Najib Diketahui 4 Tahun Lagi?

Semasa Dikemaskini 4 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 06 Sep 2022 8:15PM

Najib Razak - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan Pengampunan Diraja difailkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 September lalu, hanya boleh diketahui selepas empat tahun beliau menjalani hukuman penjara.

Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, berdasarkan Akta Penjara 1995, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 Peraturan 54, Najib tidak boleh mendapat pengampunan sebelum tempoh tersebut.

“Di bawah Peraturan 54 misalnya, ditentukan bahawa seseorang yang dihukum penjara melebihi tujuh tahun, penilaian semula dibuat selepas kajian (laporan mengenai kerja dan kelakuan banduan) empat tahun.

“Maksudnya dalam situasi sekarang Najib tidak boleh membuat rayuan bagi pengampunan kerana beliau perlu menunggu sehingga tempoh empat tahun kerana kajian bagi mereka yang dipenjarakan melebihi tujuh tahun dibuat selepas tempoh itu,” katanya kepada Getaran.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Dr Muhammad Fathi Yusof

Berdasarkan Akta Penjara 1995, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 Peraturan 54 (laporan empat tahun sekali bagi banduan-banduan), menyebut pegawai yang menjaga hendaklah tiap-tiap bulan menyediakan suatu laporan mengenai setiap banduan yang semasa bulan sebelumnya, menamatkan empat, lapan, 12 atau 16 tahun hukumannya dan tiap-tiap tahun berikutnya sesudah itu.

“Setiap laporan hendaklah memasukkan suatu pernyataan oleh pegawai yang menjaga mengenai kerja dan kelakuan banduan itu serta suatu pernyataan oleh pegawai perubatan mengenai keadaan mental dan tubuh badan banduan, dengan perujukan khusus terhadap kesan pemenjaraan ke atas kesihatannya,” katanya.

Muhammad Fathi berkata, bagaimanapun Najib mempunyai hak untuk memfailkan petisyen Pengampunan Diraja pada bila-bila masa mengikut peruntukan undang-undang.

“Sebenarnya permohonan pengampunan tertakluk kepada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan ampun, menuduh hukum atau lega hukum dan juga pelaksanaan melalui satu Lembaga Pengampunan diperuntukkan di bawah Perkara 42 (9).

“Tetapi selain daripada prinsip Perlembagan, Peraturan-Peratuan Penjara Tahun 2000 terpakai, yang mana di dalam peraturan itu terdapat satu peraturan khusus (Peraturan 54) bagi mereka dihukum penjara melebihi tujuh tahun termasuklah Najib,” katanya.

Menurut beliau, kes Najib berbeza dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tempoh hukuman penjara Presiden PKR itu kurang tujuh tahun.

“Permohonan Anwar lebih awal, lebih kurang tiga tahun prosesnya dan barulah sampai kepada keputusan Lembaga Pengampunan. Tapi dalam kes Najib terlalu awal untuk kita bercakap soal pengampunan.

“Bahkan berdasarkan Peraturan 54, beliau perlu menunggu empat tahun barulah boleh memohon pengampunan. Itupun jika dilihat kepada kes dihadapi beliau, yang lain kita tak pasti adakah beliau akan mendapat pengampunan atau tidak dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, proses Najib untuk mendapat Pengampunan Diraja akan mengambil masa panjang berdasarkan kes terdahulu.

“Misalnya kes Datuk Mokhtar Hashim dan Datuk Harun Idris dan Anwar, mereka semua terpaksa menjalani hukuman penjara dahulu.

“Jadi kalau kita ambil kes tersebut sebagai petunjuk, maknanya bukan serta-mertalah keputusan itu dibuat,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, walaupun perkara itu sukar diputuskan, beliau yakin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengambil kira pelbagai sudut, selain mendapatkan nasihat Lembaga Pengampunan.

“Memang sukar. Baginda yang juga Pengerusi Lembaga Pengampuan Wilayah Persekutuan akan membuat keputusan atas nasihat lembaga tersebut. Kita tahu Lembaga Pengampunan akan membuat keputusan terbaik, adil dan saksama.

“Berdasarkan kenyataan baginda sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa Lembaga Pengampunan tidak akan membuat keputusan sesuka hati. Maksudnya, proses itu akan dilakukan secara adil,” katanya.

Kelmarin, Al-Sultan Abdullah bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

Baginda bertitah, undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil akan menjurus kepada penindasan serta kezaliman dalam sistem pemerintahan.

“Akibatnya, pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak memiliki kuasa. Maka, titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.

“Keadilan tidak akan tercapai jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka yang diberikan amanah untuk mentadbir keadilan,” titahnya.

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun turut memaklumkan status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan, kekal buat masa ini kerana beliau sudah memfailkan petisyen pengampunan pada Jumaat lalu.

Katanya, petisyen pengampunan itu difailkan dalam tempoh 14 hari, sekali gus status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan hanya akan ditentukan selepas proses pengampunan itu selesai.

Sementara itu, ditanya sama ada Najib boleh bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun keputusan pengampunan tersebut belum diputuskan, Nik Ahmad Kamal berkata, beliau tidak boleh berbuat demikian.

“Perkara 48 jelas, kalau seseorang itu disabitkan kesalahan atau hilang kelayakan, dia tak boleh bertanding walaupun status sebagai Ahli Parlimen masih kekal selepas membuat petisyen (pengampunan).

“Walaupun keputusan permohonan pengampunan belum diputuskan, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, maka tamatlah status Ahli Parlimen beliau. Jadi jelas Najib tidak boleh bertanding,” katanya. - Getaran, 6 September 2022

Sorotan

1

Apa Keperluan Adakan PRU-15 Ketika Banjir?, Kepercayaan Terhadap PM Masih Solid

2

Berani Mengaku Bersalah, Zul Ariffin Dipuji Netizen

3

Kerajaan Tak Bercadang Tawar Ganjaran Kesan Jho Low, Red Notice Sudah Memadai

Disyorkan untuk anda

Semasa 20 jam yang lalu

‘Debaran Bajet 2023 Makin Terasa’ - Zafrul

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

Pekerja Kontrak Pembersihan Sekolah, Hospital Tidak Akan Diserap Sebagai Kakitangan Awam

Semasa 13 jam yang lalu

Polis Selamatkan Warga Palestin Diculik, 18 Individu Ditahan

Semasa 15 jam yang lalu

Rasuah Projek Solar, Pengurusan Kes Rayuan Rosmah Ditetapkan 14 November