web statsweb stats

Berita Terkini

2 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 2 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Saya Bangga Kuasai Bahasa Malaysia - Loke

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Jul 2022 7:02AM

Bagi Anthony Loke, bahasa Malaysia amat penting untuk beliau berkomunikasi dengan pengundi Melayu yang terdiri daripada separuh pengundi di Seremban. - Gambar oleh Sairien Nafis

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Bagi kebanyakan orang yang bukan penutur asal bahasa Malaysia, mempelajari bahasa itu pastinya boleh menjadi perkara yang sukar.

Namun, bagi anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook, kebolehannya menguasai bahasa Malaysia pada usia muda membuatkan dia lebih menghargai bahasa kebangsaan itu.

Malah tidak seperti kebanyakan rakan partinya atau daripada latar belakang kaum sama, Setiausaha Agung DAP itu menganggap bahasa Malaysia sebagai bahasa paling banyak digunakannya dan melebihi daripada bahasa ibundanya sendiri.

“Saya berasa bangga kerana saya boleh menguasai bahasa itu. Saya rasa sebenarnya bahasa terbaik saya antara ketiga-tiga bahasa adalah bahasa Malaysia, diikuti mungkin bahasa Inggeris dan Mandarin.

“Sejak sekolah rendah, saya dididik dalam bahasa Malaysia. Dan apabila anda menguasai bahasa kebangsaan, anda mula menghargai kepentingannya,” katanya pada sesi podcast bersama The Vibes.

Bagi Loke, bahasa Malaysia amat penting untuk beliau berkomunikasi dengan pengundi Melayu yang terdiri daripada separuh pengundi di Seremban.

“Dulu orang kata menguasai bahasa Malaysia tidak penting kerana penggunaannya hanya terhad di Malaysia dan mungkin di Indonesia. Tetapi sebagai ahli politik, saya rasa ia amat berguna apabila saya berkomunikasi dengan pengundi Melayu saya.

“Apabila anda bercakap bahasa mereka, anda memperoleh keyakinan dan rasa hormat mereka. Jadi kadang-kadang saya rasa sangat penting bagi orang bukan Melayu, terutama bagi ahli politik untuk menguasai bahasa Malaysia,” katanya.

Semasa mula-mula menjadi ADUN, Anthony Loke tidak boleh berbahasa Mandarin dengan betul. Jadi, apabila dijemput ke majlis masyarakat Cina, Loke tidak dapat menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin - Gambar oleh Sairien Nafis
Semasa mula-mula menjadi ADUN, Anthony Loke tidak boleh berbahasa Mandarin dengan betul. Jadi, apabila dijemput ke majlis masyarakat Cina, Loke tidak dapat menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin - Gambar oleh Sairien Nafis

Mantan Menteri Pengangkutan itu juga mengimbau bagaimana beliau dinasihat orang sekeliling supaya mempelajari dan menguasai bahasa Mandarin ketika awal menyertai politik, memandangkannya tidak mempunyai latar belakang pendidikan dalam bahasa itu ketika membesar.

Beliau kemudian menjawab kepada mereka yang mengkritik itu bahawa keutamaannya sebagai ahli politik adalah untuk menguasai bahasa Malaysia dengan lebih baik, iaitu bahasa rasmi digunakan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Semasa saya mula-mula menjadi ADUN, saya tidak boleh berbahasa Mandarin dengan betul. Jadi, apabila saya dijemput ke majlis masyarakat Cina, saya tidak dapat menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin.

“Sudah tentu, sesetengah orang berkata ‘anda seorang ahli politik Cina, anda mesti boleh bercakap dalam bahasa Mandarin’.

“Tetapi saya kata syarat pertama ialah bercakap dalam bahasa Melayu kerana apabila anda menjadi ADUN atau Ahli Parlimen, anda perlu bercakap bahasa itu apabila masuk Dewan, bukan Mandarin.

“Saya tidak kata bahasa Mandarin tidak penting. Selama ini, saya juga mempelajari bahasa Mandarin. Saya menghadiri kelas dan tuisyen supaya saya boleh bercakap dalam bahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris,” katanya.

Loke menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak 2004, iaitu masing-masing dua penggal di Lobak dan Chennah.

Beliau juga menjadi Ahli Parlimen tiga penggal, termasuk berkhidmat sepenggal di Rasah dari tahun 2008, sebelum mewakili Seremban sejak 2013. – Getaran, 16 Julai 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 1 tahun yang lalu

6 Bekas Ahli Parlimen BERSATU Jadi Wakil Rakyat Bebas

2

Semasa 2 tahun yang lalu

Agong Beri Lampu Hijau Ambil Tindakan Tegas Pada Ahli Parlimen Melampaui Batas

3

Politik 2 tahun yang lalu

 10 Lagi Ahli Parlimen BERSATU Dijangka Sokong Anwar

4

Politik 2 tahun yang lalu

Dakwaan Ahli Parlimen Kerajaan Akan Sokong PN Hanya Spekulasi - Fahmi

Sorotan

1

PRN Johor Dijangka Sengit, 10 Kerusi Panas Jadi Tumpuan

2

Malaysia Destinasi Akhir Pendatang Tanpa Izin Kerana Jaringan Keluarga

3

8 Rumah Musnah, Kebakaran Awal Pagi Di Kuala Perlis 

4

Cubaan Jatuhkan Tok Min, Kerajaan Negeri Tak Boleh Diterima - Anwar

5

SPRM ‘Mengganas’ Lagi, 3 Tokoh Politik Bakal Didakwa Minggu Depan?

6

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

Disyorkan untuk anda

Semasa 23 jam yang lalu

Penempatan Haram Rohingya Diroboh, Desakan Rakyat Diberi Perhatian

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

8 Rumah Musnah, Kebakaran Awal Pagi Di Kuala Perlis 

oleh Sophia Ahmad

Politik 1 hari yang lalu

Cubaan Jatuhkan Tok Min, Kerajaan Negeri Tak Boleh Diterima - Anwar

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Malaysia Destinasi Akhir Pendatang Tanpa Izin Kerana Jaringan Keluarga