KUALA LUMPUR - Selepas dikecam hebat gara-gara diangkat sebagai ikon pemotoran anak muda pada Mei lalu, nama Haqiem Stopa sekali lagi tular di media sosial.
Kali ini, pempengaruh media itu berkongsi video semasa dia mengadakan kunjungan ke sekolah lamanya di aplikasi TikTok miliknya.
Difahamkan kehadirannya ke sebuah sekolah menengah dekat sini itu adalah bagi memberikan motivasi kepada pelajar.
Bagaimanapun majoriti netizen mempertikaikan keputusan pihak sekolah menjemput lelaki terbabit yang diberi jolokan ‘mat rempit’ kerana kerap berkongsi kandungan video berkaitan motosikal di TikToknya.

Seorang guru, Mohd Fadli Salleh antara yang kurang bersetuju dengan tindakan sekolah menjemput anak muda berusia 22 tahun itu.
Katanya, individu seperti itu dikhuatiri memberi pengaruh tidak sihat kepada remaja di sekolah.
“Aku pun tak setuju. Dah kenapa tak panggil ribuan orang lain yang hebat dan boleh bagi pengaruh baik kepada pelajar sekolah?
“Sebaik mana input dalam program, ia tidak terhenti di situ. Pelajar yang belum follow (ikuti) Stopa akan follow Stopa dan bila mereka follow Stopa di Instagram serta TikTok, mereka akan terpengaruh pula dengan pengaruh negatif Stopa buat.
“Hisap vape, color (warna) rambut, merempit, langgar undang-undang, bercakap kasar dan mencarut. Manfaat yang kecil tapi membawa lebih besar mudarat pada aku,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perkongsian Mohd Fadli itu mendapat perhatian netizen dengan ramai berkongsi pendapat sama dengannya mengenai perkara tersebut.
Mereka turut mempertikaikan tauladan boleh dicontohi pelajar daripada pemuda terbabit yang sering mencetuskan kontroversi menerusi kandungan video di TitToknya.
“Bila tengok IG dia banyak pengaruh ‘break the rules’, melawan norma. Sangat berbahaya untuk tatapan umum.
“Pengubahsuaian motosikal tanpa pengetahuan formal yang cukup, perbuatan menyalahi undang-undang jalan raya, (dan) percakapan kurang sesuai dicontohi. Rasanya lebih banyak pengaruh negatif berbanding positif,” kata Siti Hafidah.
Seorang lagi pengguna media sosial sama Shada Mazan turut tidak bersetuju sekiranya lelaki terbabit dijemput kerana popular di media sosial semata-mata.
“Jika hanya kerana dia popular atau influencer (pempengaruh) kepada remaja, tak bermakna dia sesuai menjadi ahli panel atau tetamu jemputan.
“Kementerian Pendidikan (KPM) perlu justify sama ada dia ada imej, personaliti, akhlak dan pencapaian baik untuk dijadikan contoh, tauladan kepada anak-anak atau tidak,” soalnya.
Pengguna Facebook, Kuro Bikeseller menerusi satu hantaran turut mempersoalkan pemilihan pemuda itu sebagai tetamu jemputan untuk memberi ceramah motivasi di sekolah.
“Kenapa dia dijemput? Atas dasar apa? Cemerlang dalam pendidikan? Cemerlang dalam usahawan? Cemerlang dalam dunia pemotoran?
“Aku tak setuju orang macam ni diberi peluang bercakap depan budak-budak lapisan zaman akan datang. Orang macam ni patut kita ignore (abaikan), bukan diberi perhatian,” katanya.
Terdahulu, Haqiem Stopa dikecam netizen selepas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengangkat dia sebagai ikon permotoran anak muda.
Gelaran itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen kerana populariti Haqiem menewaskan pengalaman pelumba negara yang sebelum ini pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, antaranya Hafizh Syahrin Abdullah, Azlan Shah Kamaruzaman dan Affendi Rosli
Majoriti mempersoalkan gelaran diberikan itu kerana tiada yang mengenali Haqiem dan apakah kriteria membolehkan dia digelar ikon. - Getaran, 6 Julai 2022