KUALA LUMPUR - Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan fasiliti kesihatan swasta meminjam bekalan ubat daripada kemudahan kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan terdekat bagi kegunaan kecemasan bukanlah satu pilihan yang wajar dilaksanakan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai berkata, ini kerana selaras dengan Amalan Farmasi Baik, ubat-ubatan tidak boleh dipinjam dan dipulangkan begitu sahaja apabila perlu, terutamanya melibatkan farmasi hospital swasta atau hospital awam.
Malah katanya, agak mustahil untuk memulangkan ubat daripada jenama sama sebagaimana yang dipinjam.
“Selain itu sebagaimana dinyatakan (Menteri Kesihatan) apabila meminjam daripada fasiliti kesihatan kerajaan, perlu dipastikan terlebih dahulu sama ada terdapat baki stok ubat mencukupi untuk kegunaan harian.
“Semua ini akan membawa kepada masalah logistik yang boleh menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan untuk proses peminjaman tersebut,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.

Menurut beliau, dalam isu berkenaan, doktor ada kalanya dibenarkan menggunakan ubat alternatif yang boleh memberi kesan teraputik serupa.
“Banyak ubat-ubatan yang kekurangan bekalan ketika ini adalah untuk merawat batuk, selesema dan demam yang bersifat simptomatik.
“Bagi ubat penting yang mempunyai alternatif, doktor juga boleh menggunakannya. Masalahnya adalah apabila inovasi berkenaan melibatkan ubat yang masih dipatenkan atau tidak mempunyai sebarang alternatif,” katanya.
Pada masa sama, Dr Kar Chai berkata, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, doktor mungkin perlu mengurangkan penggunaan ubat bagi rawatan simptomatik dan mencari jalan alternatif bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di negara ini.
“Untuk langkah (penyelesaian) jangka panjang pula, ia memerlukan penglibatan pemain industri farmaseutikal negara,” katanya.
Mengenai saranan memulangkan ubat yang tidak digunakan, Dr Kar Chai berkata, ia bukan langkah ideal kerana dalam banyak situasi, kebanyakan ubat tersebut perlu dilupuskan kerana keadaan penyimpanannya diragui.
“Seelok-eloknya dapatkan preskripsi ubat secara berhemat agar hanya ubat-ubatan diperlukan diberikan dalam jumlah sesuai sebagaimana telahpun dilakukan di fasiliti kesihatan awam.
“Namun ia tidak menjadi isu bagi fasiliti kesihatan swasta kerana melibatkan pembayaran bagi ubat-ubatan yang ditetapkan,” katanya.
Terdahulu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan langkah tersebut dilakukan bagi menangani isu kekurangan bekalan ubat, sama ada di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta.
Katanya, pada masa sama fasiliti kerajaan yang memberi bekalan kepada fasiliti swasta itu, perlu memastikan terlebih dahulu ketersediaan dan baki stok ubatnya mencukupi untuk kegunaan harian.
“KKM mengambil maklum isu kekurangan bekalan ubat di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti di Malaysia yang dilaporkan mutakhir ini.
“Justeru, KKM berharap langkah (peminjaman) ini dapat memberi penyelesaian sementara terhadap isu kekurangan bekalan ubatan ke fasiliti kesihatan swasta, agar kesinambungan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat diteruskan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang berlaku hari ini bukan disebabkan pembelian panik oleh orang ramai.
Sebaliknya Khairy menjelaskan ia ekoran permintaan tinggi ubat-ubatan tertentu susulan penularan COVID-19 varian Omicron sebelum ini dan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada waktu ini.
Kebanyakan bekalan ubat yang terjejas membabitkan penyakit biasa seperti selesema, demam, batuk dan sakit kepala. - Getaran, 15 Jun 2022