KUALA LUMPUR - Umat Islam ditegah menyertai sebarang perayaan agama lain sekiranya ia bertujuan mengagungkan hari keraian itu kerana hukumnya adalah haram.
Jurucakap Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berkata, hukum tersebut disepakati ulama, sama ada penyertaan berkenaan membabitkan ucapan, tindakan pada pakaian atau makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan berkenaan.
Tegasnya, majoriti ulama berpendapat bahawa seorang muslim yang mengagungkan syiar agama lain boleh jatuh ke lembah kekufuran.
“Manakala individu muslim (menyertai) yang tidak berniat untuk mengagungkannya adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur,” menurut kenyataan sama.
Kenyataan itu menegaskan, umat Islam wajib mematuhi hukum-hakam syarak dalam menghadiri sesuatu majlis atau tempat perayaan, termasuk Festival Bon Odori walaupun ia dikatakan sudah berevolusi sebagai perayaan bersifat kebudayaan dengan aktiviti sosial kekeluargaan.
Menurutnya, jika dalam majlis berkenaan terdapat unsur bertentangan dengan syarak, seperti pergaulan bebas, mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya, maka wajib bagi umat Islam menghindarkan diri dari terlibat aktiviti itu.
Bagaimanapun, pihaknya mencadangkan kajian lebih lanjut dilaksanakan untuk memastikan kedudukan sebenar Bon Odori dalam realiti penganjurannya hari ini.
“Kajian ini bagi memastikan sama ada ia (Bon Odori) masih mempunyai hubungan dengan kepercayaan bersifat keagamaan atau semata-mata kebudayaan yang sudah terputus dari kepercayaan asal.
“Ini bagi memastikan sikap dan pendirian orang Islam terhadap Bon Odori adalah benar-benar menepati hukum syarak,” katanya.
Mengulas lanjut jurucakap itu berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 bagi membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam, memutuskan beberapa ketetapan kriteria perayaan agama lain yang boleh dihadiri umat Islam.
Katanya, majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara bertentangan akidah Islam dan bukan disertakan perbuatan membelakangkan syarak.
Majlis itu juga, tegasnya, tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh ‘menyentuh sensitiviti masyarakat Islam’.
“Berasaskan huraian ini, umat Islam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam apa-apa perayaan golongan bukan Islam (jika tidak memenuhi kriteri ditetapkan), agar tidak membawa fitnah kepada agama Islam,” katanya. – Getaran, 11 Jun 2022

.jpg)