web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Vaksin COVID-19 Bukan Penyebab Cacar Monyet, Dakwaan Tiada Asas Saintifik

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 May 2022 9:54PM

Cacar monyet adalah penyakit yang sudah dikesan di Amerika Utara dan Eropah, serta tiada kaitan dengan pengambilan vaksin COVID-19. - Gambar AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Dakwaan golongan anti vaksin bahawa penyakit cacar monyet disebabkan kesan sampingan pengambilan suntikan COVID-19 adalah tidak berasas sama sekali.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penyakit jarang berlaku itu yang sudah dikesan di Amerika Utara dan Eropah tiada kaitan dengan pengambilan vaksin COVID-19.

“Bagi saya dakwaan itu tidak betul. Kedua-duanya dari keturunan keluarga virus berbeza. Memang tiada kaitan antara satu sama lain.

“Penyakit cacar monyet disebabkan virus yang jarang ditemui daripada haiwan (virus zoonotik) seperti monyet, tupai dan tikus manakala virus SARS-CoV-2 pula dipercayai berpunca daripada kelawar,” katanya kepada Getaran, hari ini.

Dr Sharifa Ezat
Dr Sharifa Ezat

Jelas beliau lagi, virus itu ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

“Ia juga boleh menjangkiti individu lain melalui cecair rembesan hidung dan air liur. Berkongsi pakaian dengan individu yang dijangkiti atau menyentuh cacar turut membawa risiko jangkitan ini.

“Namun ada teori yang berpendapat bahawa ia boleh menjangkiti individu lain melalui aktiviti seksual sejenis sebagaimana yang dilaporkan di luar negara,” katanya.

Bagaimanapun Dr Sharifa Ezat tidak menolak penyakit cacar monyet yang sudah diisytiharkan endemik di benua Afrika itu mungkin disebarkan pelawat yang membawa virus berkenaan.

“Di United Kingdom (UK) dan Kanada, dikatakan tak ada kontak pesakit dari Afrika tapi virus itu sudah berada dalam komuniti.

“Namun saya yakin penyakit itu tidak boleh jadi pandemik seperti COVID-19 yang menjangkiti semua negara. Ini kerana transmisi virus ini tidaklah secepat penyakit cacar (smallpox) atau COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi) Pusat Pengajian Sains, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad berkata, risiko jangkitan cacar monyet kepada manusia dan menular menjadi wabak seperti COVID-19 amat rendah.

Katanya, ini kerana cacar monyet tidak mudah merebak antara manusia.

“Sehingga kini tiada laporan kes dari Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan jangkitan dalam negara. 

“Namun dengan adanya laporan kes di negara ‘non-endemic’ dan kes yang tiada sejarah kontak, risiko cacar monyet berlaku di Malaysia tetap ada,” katanya.

Dr Malina Osman
Dr Malina Osman

Sementara itu, Pakar Kesihatan (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman turut menyifatkan dakwaan sedemikian tidak mempunyai asas saintifik.

Susulan itu beliau mencadangkan agar undang-undang dan peraturan khusus diwujudkan bagi menghukum golongan anti vaksin yang menyebar berita tidak benar kepada orang ramai.

“Kenyataan tanpa asas yang dikeluarkan sesuka hati itu boleh menimbulkan kerisauan orang ramai. Jadi saya rasa sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap golongan itu.

“Orang ramai diingatkan supaya jangan mudah terpedaya dan dapatkan maklumat daripada sumber yang dipercayai,” katanya.

Jelasnya lagi, orang ramai juga boleh mendapatkan segala maklumat berkaitan penyakit cacar monyet menerusi media sosial rasmi Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya berpendapat KKM sentiasa mengemaskini maklumat berkenaan terutama kepada mereka yang perlu membuat perjalanan ke luar negara.

“Makluman berkenaan juga boleh dicapai di laman web KKM serta semua media sosial kementerian berkenaan,” katanya.

Terdahulu, seorang individu mendakwa gejala pesakit dijangkiti cacar monyet menyerupai kesan sampingan suntikan vaksin COVID-19.

“Naratif COVID-19 gagal membuat golongan unvaxx menerima suntikan, muncul penyakit jarang ditemui ‘monkeypox’.

“Kebetulan kesan atau simptom individu terkena jangkitan ‘monkeypox’ sama seperti kesan sampingan suntikan vaksin ujikaji COVID-19,” katanya. 

Dakwanya lagi, kemunculan penyakit cacar monyet itu sebagai cubaan untuk menakutkan golongan tertentu dan memaksa mereka untuk menerima suntikan vaksin bagi mengekang penularan virus tersebut. - Getaran, 25 Mei 2022

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

PM Diberi Sambutan Rasmi Di Pejabat Takaichi

Pendidikan 1 hari yang lalu

‘Hubungi Pihak Universiti Jika Berdepan Masalah, Jangan Malu Atau Segan’ - Zambry

oleh Sophia Ahmad

Semasa 13 jam yang lalu

Isu Rohingya Perlu Pendekatan Menyeluruh, Babit Pelbagai Agensi - Ayob Khan

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

AGC Klasifikasi Aduan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA

oleh Sophia Ahmad