KUALA LUMPUR – “Buli bukanlah kegiatan yang boleh dibanggakan dan membawa kepada budaya samseng,” tegas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau turut melahirkan kesedihan berhubung kes buli yang dilaporkan di sebuah sekolah menengah di Langkawi, Kedah seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
“Kini ia menjadi kes polis. Saya harap semua pelajar terlibat sedar dan ambil peringatan buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Semalam, media melaporkan polis menerima laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dipukul beberapa pelajar lain, seperti dipaparkan dalam rakaman video berdurasi 25 saat.
Kejadian pada jam 9 pagi Rabu itu, dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata, susulan laporan itu, 13 pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan ditahan bagi membantu siasatan. – Getaran, 29 April 2022
.jpg)
