KUALA LUMPUR - Polis sudah mengenal pasti identiti pemandu kereta mewah, Ferarri yang didakwa memukul seorang pengguna jalan raya di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sudah mendapat perintah meneruskan siasatan (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes terbabit.
“Butiran suspek sudah diperolehi dan tindakan lanjut sedang diambil,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter dengan nama @qiltinho meminta bantuan orang ramai yang memiliki video berhubung kejadian dia dipukul suspek untuk dijadikan sebagai bukti.
Menerusi ciapan di akaun media sosial itu, lelaki tersebut ada berkongsi laporan polis dibuatnya di Balai Polis Chow Kit berhubung kejadian.
Berdasarkan laporan itu, kejadian bermula di lampu isyarat Jalan Sultan Ismail pada jam 12.40 tengah malam semalam, ketika dia memandu keluar bersama seorang rakan wanita dengan menaiki kereta jenis Proton X70.
Dakwanya, ketika lampu isyarat bertukar hijau, sebuah kereta Ferarri berwarna putih di depannya tiba-tiba mengundur ke belakang dan melanggar bahagian depan kereta dipandunya.
“Selepas itu, pemandu tersebut melarikan diri ke arah Kampung Baru dan saya mengikutinya. Disebabkan jalan sesak, dia (suspek) berhenti di depan sebuah premis Jalan Raja Abdullah,” katanya.
Dakwanya, dia keluar daripada kereta bertemu suspek untuk meminta penjelasan, namun lelaki tersebut tidak mengakui melanggar keretanya, malah mengugut dan merampas telefon bimbit mangsa serta membalingnya.
“Tiba-tiba dia (suspek) mencekik leher dan menumbuk kepala saya menggunakan tangannya sehingga saya terjatuh. Dia juga bertindak kasar terhadap rakan perempuan saya dengan mencekak tangan dan cuba merampas telefon bimbitnya,” katanya.
Lelaki itu berkata, akibat serangan tersebut, dia mengalami kecederaan di siku dan buku lali kiri serta beberapa bahagian badan. - Getaran, 20 April 2022