web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Peniaga Mercun Bermaharajalela Di Sebalik Larangan Jualan, Apa Silapnya?

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Apr 2022 9:03AM

Antara mercun dan bunga api yang dijual di tepi jalan.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Setiap kali menjelang musim perayaan utama di negara ini termasuk Aidilfitri, dentuman mercun pasti kedengaran dan ia umpama 'aksesori' pelengkap keraian, sama ada di desa atau kota.

Malah, bermain mercun bagaikan menjadi kelaziman pada musim perayaan dan sambutan dianggap kurang sempurna tanpa aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, kebiasaan itu kadang kala membawa padah dan mengundang kisah duka, apabila saban tahun masyarakat dipaparkan dengan kes kecederaan akibat bermain mercun, termasuk kehilangan serta kecacatan anggota badan disebabkan letupan bahan terbabit.

Pada tahun ini juga kes sama dilaporkan di Bachok, Kelantan apabila tular kisah seorang pelajar Tingkatan Dua hilang tiga jari tangan kanan dan gegendang telinga pecah akibat terkena mercun bola dalam kejadian di belakang rumah, minggu lalu.

Namun, insiden seperti dilaporkan itu seakan tidak menjentik rasa gerun kepada orang ramai yang tetap mencari mercun, sehingga menyaksikan pengusaha dan penjual barangan terbabit muncul bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Ia dapat dilihat apabila banyak perniagaan itu diusahakan, malah secara terangan tanpa rasa bersalah atau bimbang dikenakan tindakan penguatkuasaan, walaupun penjualan mercun kategori berbahaya adalah diharamkan di negara ini.

Pelbagai kaedah penjualan dilakukan peniaga mercun untuk memasarkan barangan itu, sama ada secara berdepan dan dalam talian, termasuk taktik fizikal yang tidak asing dilihat, iaitu mereka membuka meja dengan mempamerkan bunga api diluluskan.

Sebaliknya, di ‘bawah’ meja mereka akan mempromosikan mercun terlarang kepada pelanggan dengan menunjukkan katalog koleksi mercun dijual.

Mercun turut dijual menerusi media sosial.
Mercun turut dijual menerusi media sosial.

Taktik licik digunakan peniaga dan perkembangan arus teknologi masa kini yang menyaksikan penjualan mercun dilakukan menerusi media sosial serta pasaran lebih meluas menerusi platform itu, merumitkan usaha pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti terbabit.

Strategi penjualan mereka turut membabitkan penggunaan aplikasi WhatsApp yang dijadikan ‘port’ utama peniaga mencari pelanggan, iaitu dengan hanya menghantar katalog koleksi mercun dijual berserta harga.

Individu berminat kemudian akan membuat pembayaran melalui pemindahan wang dalam talian, sebelum ia dihantar secara kurier atau pelanggan bersetuju membayar sebaik barangan sampai ke tangan mereka.

Terbaru, tinjauan Getaran di laman media sosial mendapati platform komunikasi itu tidak terkecuali menjadi sasaran penjual mercun untuk mempromosikan barangan terbabit, memandangkan medium berkenaan menjadi antara pilihan masyarakat, khususnya generasi muda.

Situasi itu menimbulkan persoalan mengapa di sebalik kewujudan undang-undang berkaitan larangan penjualan mercun, peniaga terbabit masih berani memasarkan dan mempromosikannya secara umum?

Adakah tindakan penguatkuasaan masih belum mencukupi atau undang-undang sedia ada tidak mampu mencetuskan kegentaran kepada mereka dan pembeli?.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dilaporkan berkata, larangan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api masih berkuat kuasa bagi mana-mana sambutan perayaan.

Menurutnya, setakat ini, hanya dua jenis bunga api, iaitu ‘Pop Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan dijual serta dimainkan, disebabkan kandungan bahan bakar dalam kedua-dua barangan tersebut tidak membahayakan keselamatan orang ramai.

“Bagaimanapun, penjualan kedua-dua jenis mercun itu masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan dan mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Abdul Jalil berkata, sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun selain daripada jenis dibenarkan itu, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Jelasnya, berdasarkan Akta 207, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Beliau berkata, bermain atau membakar mercun dan bunga api dilarang juga boleh dihukum penjara tidak lebih satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya.

“Ia tertakluk kepada peruntukan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta mengelak kejadian tidak diingini,” katanya. – 18 April 2022
 

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

KLSICCI Miliki Potensi Besar, Mampu Kembali Cipta Pengaruh - Rajasekaran

oleh Sophia Ahmad

Semasa 9 jam yang lalu

PDRM Sokong Larangan Menyeluruh Vape, Bimbang Penularan Dadah ‘Piu Piu’

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 13 jam yang lalu

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

Politik 13 jam yang lalu

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

oleh Sophia Ahmad