KUALA LUMPUR - Kerjaya sebagai penarik beca bukan sahaja mampu menjana kewangan kepada individu, tetapi lebih menarik, ia membantu menggalakkan sektor pelancongan di beberapa negeri.
Malah, kelangsungan kerjaya itu amat penting bagi mengekalkan warisan kebudayaan masyarakat tempatan yang cukup indah, terutama di mata pelancong negara luar.
Justeru, bagi mempertahankan kerjaya itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, usaha mencari pelapis penarik beca di negeri itu perlu dilaksanakan sebaiknya bagi menggantikan mereka yang uzur dan meninggal dunia.
Jelasnya, usaha itu juga perlu digerakkan supaya perkhidmatan dan tarikan beca ‘tidak pupus ditelan zaman’.
Beliau berkata, kebanyakan pengayuh beca ketika ini sudah berusia 60 tahun ke atas.
“Belia perlu tampil bagi meneruskan kerjaya tersebut kerana ia adalah warisan di Kelantan yang perlu dipertahankan.
“Anak muda yang menganggur tidak perlu berasa janggal bekerja sebagai pengayuh beca kerana ia adalah sumber rezeki halal, biarpun pendapatan tidak seberapa,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Md Anizam berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan minat belia untuk menceburi kerjaya itu, termasuk menyediakan bantuan dan dana bersesuaian.
“Sebelum ini seramai 17 pengayuh beca yang berdaftar, menerima bantuan wang tunai sebanyak RM600 seorang dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban menyambut Ramadan.
“Sumbangan itu adalah pusingan pertama daripada peruntukan RM1,200 setahun disediakan kerajaan negeri bagi membantu golongan terbabit. Mereka turut menerima keperluan dapur bernilai RM250 seorang,” katanya.
Pada masa sama, Md Anizam berkata, bagi membantu penarik beca, kerajaan negeri menawarkan perkhidmatan baik pulih beca rosak secara percuma.
“Sekurang-kurangnya usaha tersebut dapat menarik minat belia menganggur untuk mencari rezeki sebagai pengayuh beca,” katanya.
.jpg)
Mengulas mengenai kenyataan Md Anizam terbabit, Pensyarah Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Farrah Atikah Saari berkata, kelangsungan penarik beca dan beca sebagai kenderaan tradisi harus diperjuangannya, memandangkan ia adalah identiti negara yang memiliki keindahan tersendiri dan tidak ternilai.
Beliau berpandangan, penarik beca dan beca mempunyai potensi luas terutama dari segi pelancongan, justeru jika tidak dipelihara, dipulihara dan diuar-uarkan kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan remaja serta generasi zaman ini, ia menjadi kerugian amat besar terhadap identiti negara.
“Pada pendapat saya, konservasi warisan itu sendiri pun memang kita nak kekalkan bagi meneruskan budaya kita dan apa kita ada, sebagai contoh macam penarik beca ini.
“Saya memang menyokong penuh berhubung hasrat pihak berkuasa (kerajaan Kelantan) yang mengatakan usaha harus dilaksanaka untuk mengekalkan dan menaiktaraf penarik beca serta beca itu sendiri,” katanya kepada Getaran hari ini.
Farrah Atikah berkata, sekiranya diimbau kehidupan generasi terdahulu, perkhidmatan penarik beca dan beca menjadi antara pilihan utama penduduk untuk ke mana-mana, termasuk pasar, namun perubahan dan kemodenan zaman menyaksikan ia semakin dilupakan.
“Kalau kita tengok datuk nenek kita dulu pergi pasar menggunakan beca, jadi sekiranya tidak diperjuangkan, ia akan hilang seperti kenderaan tradisi tertentu, contoh kereta kuda dan kereta lembu yang sudah tidak digunakan.
“Beca ini masih ada walaupun menggunakan kudrat manusia, jadi ia amat penting untuk kita kekalkan, pelihara dan pulihara,” katanya.
Selain itu, Farrah Atikah berkata, apa yang membimbangkan jika usaha memperjuangkan kelangsungannya tidak diberi perhatian, kemajuan teknologi kenderaan akan terus memberi risiko yang boleh menyebabkan kepupusan penarik beca dan beca.
Malah, ujarnya di setiap beca itu turut mempunyai keindahan dan keistimewaan tersendiri, seperti teknik pembuatannya yang unik.
Ditambah faktor kerjaya itu menyumbang kepada ekonomi penarik beca, katanya, inisitif berkesan seharusnya diambil bagi memastikan penarik beca dan beca dipelihara serta dipulihara sebaik mungkin.
Ditanya adakah masyarakat di negara ini memiliki kesedaran tinggi untuk menyayangi, menghargai dan memperjuangkan warisan itu memandangkan dakwaan tertentu mengatakan bahawa penarik beca kurang diceburi generasi muda, Farrah Atikah berkata, ia boleh dilihat daripada dua sudut.
Pertama, katanya, mungkin dengan pemodenan dikecapi kini, membuatkan masyarakat lebih menggunakan kenderaan lain, antaranya kereta dan motosikal, berbanding pengangkutan tradisi seperti beca, sekali gus menjadi pencetus penarik beca seolah-olah ketinggalan zaman.
Tegasnya, inisiatif mantap juga untuk sama-sama membantu penarik beca meningkatkan taraf ekonomi mereka dan melestarikan warisan beca itu harus dilakukan.
“Saya kurang bersetuju kenderaan macam beca ini sudah ditukar kepada motosikal. Bila ia ditukar macam itu, dah hilang keaslian dan perubahan terbabit juga mungkin menjadi faktor keuzuran penarik beca tersebut.
“Pada sudut lain pula, kita patut juga perjuang supaya keaslian beca itu dikekalkan.
“Mungkin kita kena ada satu alternatif lain, antaranya Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian boleh bergabung untuk kita sama-sama fikir macam mana nak kekalkan warisan beca, di samping dapat menyumbang kepada ekonomi penarik beca, contoh menerusi promosi tertentu,” katanya. – Getaran, 6 April 2022