KUALA LUMPUR - Kedatangan Ramadan kali ini pastinya dinanti ramai, apatah lagi bermacam-macam kelonggaran diumumkan kerajaan termasuklah kebenaran operasi bazar Ramadan.
Kebiasaannya ramai memilih membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan kerana faktor kekangan masa selain mudah dan cepat.
Bagaimanapun di sebalik kebenaran tersebut, timbul kebimbangan mengenai tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung ketika negara masih lagi berdepan ancaman gelombang Omicron.
Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, beliau sebenarnya tidak bersetuju bazar Ramadan dibenarkan beroperasi kerana penularan varian Omicron belum terkawal ketika ini.
Namun beliau akur dengan keputusan dibuat kerajaan bagi membantu peniaga menjana pendapatan mereka yang terjejas akibat wabak berbahaya itu.
Justeru katanya, kerajaan perlu mengeluarkan SOP bersesuaian mengikut keluasan dan lokasi tapak bazar Ramadan bagi mengekang penularan COVID-19.

Dr Sharifa Ezat berkata, SOP tersebut perlu mengambil kira penjarakan antara gerai, jarak satu meter antara pengunjung dan mengehadkan jumlah kemasukan setiap pelanggan atau mengikut giliran.
“Kadang-kadang kita tengok ada penganjur yang buat gerai Ramadan macam sekadar melepaskan batok di tangga. Tempat sempit tak ada penjarakan antara gerai, sumbat ramai-ramai peniaga.
“Jadi bila banyak gerai, ramailah orang akan masuk. Sepatutnya jumlah gerai perlu ikut keluasan tapak bazar Ramadan. Begitu juga pengunjung yang masuk pada satu-satu masa, kena ada had atau ikut sistem giliran,” katanya kepada Getaran, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menggesa agar penguatkuasaan pematuhan SOP di bazar Ramadan di seluruh negara dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Katanya, langkah itu bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan SOP ditetapkan.
“Sepanjang operasi bazar Ramadan kerajaan memang kena pertingkatkan aktiviti penguatkuasaan kerana jika leka sedikit bahaya pasti mengundang.
“Di setiap bazar juga perlu ditempatkan beberapa petugas untuk memeriksa MySejahtera pengunjung. Kita tidak mahu ada individu ‘tidak sepatutnya’ terlepas masuk,” katanya.
Dr Sharifa Ezat turut melarang kanak-kanak atau warga emas berkunjung ke bazar Ramadan atas faktor keselamatan.
“Kena ada syarat ketat juga kalau nak masuk, contohnya pengunjung harus melengkapkan vaksinasi mereka.
“Kanak-kanak dan warga emas pula tidak dibenarkan masuk kerana mereka antara golongan berisiko tinggi dijangkiti,” katanya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan jika boleh elakkan tempat sesak bagi mengurangkan risiko jangkitan.
“Walaupun Omicron tidak seteruk varian Delta, orang ramai tetap perlu berwaspada. Jika kita tengok kes serius kategori 3, 4 dan 5 sudah menunjukkan peningkatan.
“Kalau boleh kita nak elakkan kes serius meningkat terlalu tinggi. Berhati-hati pakai pelitup muka dan sentiasa patuh SOP,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat bersetuju dengan keputusan tersebut tetapi katanya, SOP di bazar Ramadan perlu ditambah baik.
“Pendapat saya ini berdasarkan situasi semasa sekarang dengan mengambil kira kes serius yang masih lagi rendah.
“Perlu ada SOP dari segi penjarakan sosial, bilangan kemasukan pada satu-satu masa dan wujudkan pasukan pemantau untuk pastikan orang tidak bersesak-sesak dan pakai mask,” katanya.
Malah katanya, SOP operasi bazar Ramadan di seluruh negara juga perlu diseragamkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul.
Pada 2020, operasi bazar Ramadan di seluruh negara adalah tidak dibenarkan bagi mengekang penularan COVID-19, manakala pada tahun lalu pula, operasi bazar Ramadan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi. - Getaran, 17 Februari 2022
