KUALA LUMPUR - Larangan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun dan bunga api masih lagi berkuat kuasa bagi mana-mana sambutan perayaan termasuk Chap Goh Mei yang akan disambut 15 Februari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, setakat ini hanya dua jenis bunga api yang dibenarkan iaitu ‘Pop Pop’ dan ‘Happy Boom’.
Menurutnya, kebenaran itu diberikan kerana kedua-dua jenis bunga api terbabit tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.
“Bagaimanapun, penjualan kedua-dua jenis mercun itu masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan dan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya hari ini.
Di bawah akta itu, pelaku boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-keduanya jika sabit kesalahan.
Abdul Jalil berkata, bermain atau membakar mercun dan bunga api yang dilarang juga boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih dari satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya.
“Ia tertakluk kepada peruntukan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi undang-undang bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta mengelak kejadian yang tidak diinngini berlaku,” katanya. - Getaran, 12 Februari 2022
