KUALA LUMPUR - Seramai 78 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru, di sini, dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga pengurus premis terbabit turut disaman kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar SOP PPN.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner (ACP) Amihizam Abdul Shukor, berkata, operasi dilaksanakan susulan maklumat daripada orang awam.
“Hasil maklumat, sepasukan polis dari Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menjalankan serbuan ke atas premis itu pada jam 11.30 malam semalam,” katanya hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas resit jualan, komputer riba, aksesori muzik, pembesar suara dan mikrofon.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952 dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (PPN) 2021,” katanya.
Amihizam berkata, pemeriksaan ujian air kencing ke atas pengunjung mendapati, dua daripadanya positif dadah.
“Mereka dibawa ke IPD Brickfields untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat seorang pelanggan enggan memberi kerjasama dan cuba melepaskan diri.
“Suspek berkenaan telah ditangkap atas kesalahan menghalang penjawat awam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Amihizam berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti hiburan yang melanggar SOP PPN untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. - Getaran, 10 Februari 2022

