KUALA LUMPUR - Beberapa pejabat anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan siasatan kes salah guna kuasa membabitkan lima pegawai kanan agensi berkenaan.
Difahamkan, serbuan itu melibatkan tiga pejabat sejak pagi tadi, yang dilakukan kira-kira 11 pegawai dan anggota SPRM.
Turut menjadi sasaran adalah Ibu Pejabat MARA Corporation di ibu negara dan sebuah syarikat setiausaha korporat serta perkhidmatan penyumberan luar korporat kepada agensi terbabit.
Kehadiran pasukan siasatan SPRM itu dipercayai untuk mengambil beberapa dokumen penting yang boleh membantu siasatan salah laku pegawai kanan agensi MARA, seperti ditularkan sebelum ini.
Menurut sumber, SPRM turut mengambil keterangan lima pegawai terbabit.
Terdahulu, akaun Twitter, @ES_EdisiKhas mendedahkan satu surat permohonan menjalankan siasatan integriti terhadap lima pegawai kanan MARA, berhubung tuntutan mencurigakan mereka.
Surat bertarikh 30 Januari itu dihantar Pengerusi Eksekutif MARA Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.
Selain itu, @ES_EdisiKhas turut mendedahkan dokumen sokongan tuntutan oleh kelima-lima individu terbabit yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Bagaimanapun, Azizah dalam satu kenyataan menafikan berlaku salah guna kuasa atau urus tadbir dalam agensi itu dan anak syarikatnya seperti didakwa.
Menurutnya, MARA memandang serius dakwaan itu dan tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana individu terbabit dalam salah guna kuasa atau tidak berintegriti.
Pada masa sama beliau memberitahu, MARA turut memandang serius penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap agensi berkenaan.
Kelmarin, SPRM mengesahkan menerima satu aduan berhubung salah laku berkenaan dan akan memulakan siasatannya bermula esok.
“SPRM akan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” katanya.
Semalam, lima individu dipercayai pegawai MARA yang terkait dengan isu salah guna kuasa itu tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan berkenaan.
Kelima-lima mereka hadir secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pagi semalam.
Difahamkan, laporan polis itu dibuat bagi menafikan segala pembabitan mereka dalam isu salah guna kuasa seperti yang tular di media sosial, kelmarin. – Getaran, 7 Februari 2022
