KUALA LUMPUR - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ketika sedang mengejar seorang pesalah trafik yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya, hari ini.
Dalam kejadian itu, Pembantu Penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur, Muhammad ‘Azizi Azizan, dikatakan sedang bertugas dalam satu operasi motosikal dilaksanakan oleh JPJ Kuala Lumpur.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu dikatakan berlaku apabila seorang penunggang motosikal cuba melarikan diri daripada sekatan yang didirikan.
Difahamkan, mangsa yang bertugas sebagai anggota preman dalam operasi tersebut cuba mengejar individu terbabit dengan menunggang motosikalnya.
Bagaimanapun, ketika mengejar suspek, motosikal mangsa terbabas menyebabkan dia jatuh di atas jalan raya, sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. - Getaran, 6 Februari 2022

