KUALA LUMPUR - Dua wanita ‘tahi judi’ antara 17 individu ditahan menerusi dua serbuan di ibu negara dan Selangor dalam usaha membanteras aktiviti perjudian atas talian, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 6.45 petang di sebuah rumah kedai di Jalan Batu Tiga Lama, Klang, Selangor.
Menurutnya, seramai 14 orang terdiri daripada 11 lelaki, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 21 hingga 50 tahun ditahan.
“Polis merampas satu unit komputer riba kawalan utama, 13 unit komputer riba, satu unit modem dan wang tunai RM1,598.
“Serbuan kedua dilakukan di sebuah premis di Jalan Rejang 7, Setapak Jaya, Kuala Lumpur pada 10.45 malam dan tiga lelaki berusia 21 hingga 35 tahun ditahan,” katanya hari ini.
Difahamkan, premis judi beroperasi di Batu Tiga Lama itu memperoleh keuntungan harian sebanyak RM5,000 dengan hanya menawarkan permainan judi atas talian.
Premis itu turut menjadikan tingkat atas restoran India Muslim di lokasi terbabit sebagai pusat operasinya.
Mohamad Noor berkata, polis turut merampas empat unit komputer riba, dua unit tablet, satu unit telefon bimbit, satu unit router, satu unit modem dan wang tunai RM205.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Getaran, 1 Februari 2022

