LABUAN - Seorang kontraktor dihadapkan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender, tiga tahun lepas.
Tertuduh, Mohd Asyraf Kula, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Surat Kebenaran Khas Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi mendapatkan tender kerja sistem retikulasi air luaran dan lain-lain projek berkaitan di Kolej Matrikulasi Labuan bernilai RM1.6 juta daripada Jabatan Kerja Raya Labuan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Pejabat Jabatan Kerja Raya Labuan pada 11 Oktober 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, membabitkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Katherina Nais manakala Mohd Asyraf diwakili peguam Datuk Rakhbir Singh.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Mac depan. - Getaran, 31 Januari 2022

