KUALA LUMPUR - Pengunjung di pantai Desaru menjadi kecoh pada petang Jumaat lalu selepas menemui objek yang kelihatan seperti sebahagian daripada serpihan kapal terbang, yang dihanyut dari Laut China Selatan.
Objek berkenaan dipenuhi teritip, sekali gus menunjukkan ia telah lama berada di dalam laut.
Menambahkan keterujaan dan persoalan, ialah ia mempunyai warna merah serta biru.
Bagaimanapun, penemuan awal menunjukkan ia mungkin sebahagian daripada pesawat ringan yang mungkin terhempas di Laut China Selatan beberapa tahun lalu, atau serpihan kapal marin.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong yang dimaklumkan The Vibes, dengan segera mengarahkan pegawainya untuk menyiasat.
"Saya akan keluarkan kenyataan selepas mendapat maklumat supaya kita tahu perkara sebenar," katanya.

Sementara itu, resort berhampiran ketika dihubungi mengesahkan pekerjanya menemui objek tersebut dan ia telah dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan, manakala polis juga sudah dimaklumkan.
Manakala pegawai polis dari balai polis Bandar Penawar ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan penemuan serpihan tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan telah dijalankan melibatkan bahagian forensik.
Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, butiran awal penemuan itu telah dihantar ke ibu pejabat polis daerah Kota Tinggi.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.
''Kami maklum mengenai penemuan itu tetapi saya tidak boleh dedahkan mengenainya,'' katanya kepada The Vibes.
Beliau menambah, laporan telah diberikan kepada Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pakar penerbangan memberitahu, objek yang ditemui di Desaru kelihatan seperti badan pesawat dari pesawat ringan, bukannya pesawat komersial yang besar. Ia juga terlalu kecil untuk menjadi sebahagian daripada kapal terbang.
Beliau menegaskan bahawa ia juga mungkin dari bot, kerana struktur seperti sarang lebah yang dilihat di atasnya boleh didapati di dalam bot.
Ia juga tidak mungkin dari pesawat Malaysia Airlines kerana tanda pendaftarannya berwarna biru manakala semua pesawat di bawah syarikat penerbangan itu ditandakan dengan warna hitam.
Pembentukan teritip menunjukkan bahawa ia mungkin berada di laut selama sepuluh hingga 15 tahun yang lalu, tambah pakar itu.
Secara kebetulan, pada 18 Jun 2000, sebuah Cessna 172 milik sekolah latihan yang membawa empat individu telah terhempas di laut kira-kira 100m dari Mersing.
Dua individu maut dalam kejadian itu, manakala dua lagi berjaya menyelamatkan diri selepas dengan menggunakan payung terjun. - The Vibes, 31 Januari 2022
