KUANTAN - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang mengagihkan sumbangan kepada kakitangan dan nelayan yang terbabit dalam banjir di tiga negeri bermula hujung bulan lalu.
Setiap nelayan menerima RM1,000 melalui bantuan kilat tabung bencana, manakala bagi kakitangan LKIM pula, mereka masing-masing menerima sumbangan ‘one-off’ berjumlah RM2,000.
Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, selain sumbangan melalui tabung bencana, nelayan berdaftar dengan LKIM dan persatuan nelayan kawasan turut layak memohon bantuan membaiki kediaman sehingga RM10,000 dan RM1,000 untuk membeli peralatan atau kelengkapan menangkap ikan yang rosak.
“Secara keseluruhannya, seramai 277 nelayan di Selangor, Pahang dan Melaka terbabit secara langsung dengan kejadian banjir baru-baru ini dan pegawai serta kakitangan kita sudah mula mengagihkan bantuan (sumbangan) kepada mereka sejak 20 Disember lalu.
“Setakat ini, kita anggarkan banjir yang melanda beberapa negeri hujung bulan Disember lalu mengakibatkan kerugian kira-kira RM2 juta dan nilai (kerugian) ini dijangka meningkat selepas pihak LKIM dengan kerjasama persatuan nelayan selesai melakukan taksiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program ziarah kasih pasca banjir di pejabat LKIM Pahang, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman dan Pengarah LKIM Pahang, Farah Shahadah Zakaria.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai bekalan ikan segar sepanjang musim tengkujuh yang kini sudah mula memasuki fasa kedua, Syed Abu Hussin berkata, perkara tersebut dapat diatasi memandangkan banjir tidak berlaku serentak di Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung.
"Buat masa ini bekalan masih ada dan pagi tadi saya sempat meninjau kompleks pendaratan ikan LKIM di Tanah Putih, masih ada bot yang mendaratkan ikan dan ada bot keluar menangkap ikan walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Situasi banjir juga banyak menjejaskan hasil (tangkapan) nelayan di sebelah sini (Pantai Timur), namun bekalan dari (nelayan) Pantai Barat masih ada dan harganya juga masih berpatutan dengan mengambil kira situasi (cuaca) semasa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihak LKIM dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga sedang mengenal pasti lokasi, bagi menghantar lori khas yang menawarkan jualan barangan basah kepada pengguna.
“Lori ini akan berfungsi sebagai pasar bergerak dan kita cadangkan ia digerakkan ke kawasan terjejas banjir untuk memudahkan penduduk mendapatkan bekalan barangan basah.
“Harga ditawarkan melalui konsep ini juga lebih murah, kita jual dengan potongan harga 30 peratus dan ini sekali gus dapat meringankan bebanan mereka,” katanya. - Getaran, 3 Januari 2022

