KUALA LUMPUR - Barisan kepimpinan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) yang baharu bagi sesi 2022-2024 akan melaksanakan Transformasi PROFIMA 2024, bagi memastikan kelangsungan hidup kru industri filem dan video dalam menghadapi cabaran baharu untuk tahun-tahun mendatang.
Presiden PROFIMA, Khalil Salleh berkata menerusi transformasi itu, persatuan tersebut meletakkan misi yang jelas untuk menjadi payung utama kepada semua warga kerja industri perfileman dan video di samping menyediakan ahli dengan kemahiran selaras dengan keperluan industri.
“Pada Mesyuarat Agung Tahunan 2021 yang baru berlalu, perubahan besar dalam tampuk kepimpinan PROFIMA menggambarkan kebanyakan ahli yang terdiri daripada kalangan tenaga kerja belakang tabir mahukan perubahan serta penambahbaikan selaras dengan perubahan budaya kerja serta situasi semasa.
“Seluruh saf kepimpinan baharu PROFIMA bagi sesi 2022-2024 bertekad untuk melakukan Transformasi PROFIMA 2024… Transformasi ini dilihat mampu memberi kesan berterusan yang lebih baik kepada peningkatan profesionalisme ahli PROFIMA dan kru industri filem itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata antara fokus utama yang diberi perhatian dalam agenda perubahan itu ialah penambahbaikan sistem tadbir urus, operasi PROFIMA, pendidikan, pembangunan kemahiran serta kebajikan ahli dan keluarga mereka.
Dalam pada itu, Khalil berkata PROFIMA menyeru semua warga kerja di belakang tabir dan penuntut universiti berkaitan filem untuk mendaftar diri sebagai ahli yang sah serta terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan PROFIMA.
"Dengan menjadi ahli yang sah sahaja kita dapat menjaga hak serta keperluan kru dalam industri. Ia juga bakal memastikan karya-karya yang terhasil lebih berkualiti serta industri filem dan video di negara ini mampu dibangunkan dengan lebih rancak," katanya sambil menyeru semua kru filem agar bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk menempuh cabaran baharu dalam industri. - Bernama

