KUALA LUMPUR - Sebanyak 11 lagi kes varian Omicron dikesan di negara ini, kesemuanya membabitkan jangkitan dari luar negara.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang disahkan varian Omicron sebanyak 13.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 11 kes itu membabitkan sembilan warganegara Malaysia manakala dua lagi rakyat Nigeria.
“Daripada 18 kes yang disyaki kemungkinan varian Omicron, 11 disahkan varian Omicron. Kesemuanya adalah kes import.
“Tiga kes dari United Kingdom, tiga kes (Amerika Syarikat), dua kes (Nigeria), dua kes (Arab Saudi) dan satu kes (Australia),” katanya hari ini.
Beliau berkata, lapan kes disahkan bergejala tetapi hanya pada kategori dua dan tiga manakala tiga lagi tidak bergejala.
“Lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin.
“Kesemua kes sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat,” katanya.
Malah beliau berkata, varian Omnicron ke atas tujuh lagi sampel tidak dapat disahkan kerana ujian jujukan genom (WSG) tidak berjaya dijalankan.
“Ini disebabkan tahap viral load yang rendah dalam semua sampel yang diterima.
“Ketujuh-tujuh sampel didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam (6) sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu (1) sampel mempunyai CT value 28.47,” katanya.
Pada masa sama Dr Noor Hisham memaklumkan, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron, semalam dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada WGS.
“Maklumat lanjut mengenai perkara di atas akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 222 kes baharu varian dilaporkan sejak 11 Disember sehingga semalam.
“IMR telah mengenal pasti sebanyak 128 kes baharu yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu 117 varian Delta (B.1.617.2) dan 11 varian Omicron (B.1.1.529).
“Malaysian Genome & Vaccine Institute (MGI) pula telah mengenalpasti sebanyak 48 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).
“Di samping itu, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) juga telah mengenalpasti 46 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2),” katanya.
Beliau berkata sehingga kini, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 5,213 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 5,193 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.
“Secara keseluruhan, bagi VOC terdapat sebanyak 4,933 kes varian Delta, 233 kes varian Beta, 14 kes varian Alpha dan 13 kes varian Omicron.
“Manakala bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya.
Susulan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia, beliau berkata, KKM akan mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19 termasuk varian Omicron di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan di dalam komuniti.
“Justeru, KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
“Terus amalkan norma baharu dan pematuhan kepada SOP sedia ada,” katanya. - Getaran, 18 Disember 2021

