KUALA LUMPUR - Tindakan tegas pada kadar segera akan diambil terhadap mana-mana sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang cuba menyembunyikan kes buli, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Menurut beliau, ada sekolah terlibat cuba menyembunyikan kes seumpama itu bagi mengelakkan ia diketahui pihak luar.
“Sebab itu kita telah mewujudkan sistem pelaporan, maknanya pihak sekolah boleh melaporkan apa sahaja kes buli yang berlaku di dalam sistem tersebut dan dari situ, kita mendapat maklumat berkaitan kes buli yang berlaku serta tindakan yang patut diambil,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Radzi menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai pendirian KPM, tentang perlunya tindakan tegas dikenakan ke atas terhadap pengurusan atau pentadbir institusi pendidikan yang cuba menyembunyikan kes buli sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.
Tegas Mohd Radzi, KPM juga telah membentuk kerangka menyeluruh bagi membanteras buli di sekolah termasuk asrama.
“Kerangka baharu itu melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan kepada pendekatan sedia ada dengan tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.
Mengulas lanjut, dalam konteks untuk memberikan kesedaran kepada pelajar, KPM akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera yang bertujuan memupuk dan menerapkan nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah termasuk murid oleh guru secara langsung atau tidak langsung menerusi aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
“Berhubung dengan penghukuman di peringkat sekolah, KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/2010 yang menyentuh tentang hukuman terhadap pembuli di sekolah atau asrama.
“Bagi aspek pemantauan pula, pada masa ini ia dilaksanakan oleh pentadbir, guru dan warden,” ujarnya.
Sidang dewan juga diberitahu, saluran pelaporan telah disediakan KPM bagi membolehkan sekolah melaporkan kes buli yang berlaku.
"Ia turut melibatkan penyediaan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Perbuatan Buli Dalam Kalangan Murid di Sekolah dan Buku Panduan Pengurusan Menangani Buli Di Sekolah sebagai panduan," katanya. - Getaran, 14 Disember 2021.

