KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri PRN Sarawak yang dijangka diadakan bulan depan.
Serentak dengan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan SOP yang diperkenalkan pada PRN Melaka sebelum ini, termasuk larangan kempen secara bersemuka.
“SOP ditetapkan MKN dan kemudian dilaksanakan SPR ini banyak mengekang kebebasan pilihan raya termasuk untuk kita beri penerangan dan pencerahan kepada rakyat, jadi kalau penerangan tak dapat disampaikan maka ada kekangan serta masalah.
“Oleh itu mohon dipertimbangkan semula, ubah peraturan ini supaya sesuai dengan hak demokrasi, jadi untuk PRN Sarawak perkara ini harus disegerakan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Turut senada dengan beliau ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut menggesa semakan semula itu segera dilaksanakan.
Beliau juga mempersoalkan kewujudan gambar mantan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat menghiasi kain rentang di sepanjang jalan ketika kempen PRN Melaka diadakan baru-baru ini.
“Kita lihat banyak gambar Muhyiddin Yassin memenuhi kempen di Melaka sedangkan Ahli Parlimen Pagoh itu bukan calon.
“Ada pengundi tak tahu logo parti dan ada yang tak nampak dengan jelas perbezaan antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), sehingga ada tersalah pangkah, sekali gus menyumbang kepada kekalahan PN dalam PRN Melaka,” katanya. - Getaran, 22 November 2021
