Berita Terkini

18 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


RMK12 Tetapkan Hala Tuju Strategik Berasaskan Semangat Keluarga Malaysia - PM

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Sep 2021 1:59PM

Ismail Sabri menunjukkan buku ‘Rancangan Malaysia Kedua Belas’ (RMK12) selepas membentangkan RMK12 di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19.

Berobjektifkan ‘Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan’, RMK12 bukan hanya untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Ismail Sabri, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos,  membentangkan perancangan lima tahun berkenaan di Dewan Rakyat, dengan kerajaan memperuntukkan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMK12.

Dipenuhi pelbagai inisiatif, RMK12 berpaksikan sembilan fokus utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi; memperkukuh pemangkin pertumbuhan; meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia; memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam; membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

Fokus lain adalah memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia; melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun; mempercepat pertumbuhan hijau; dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

“Kita mahu memacu Keluarga Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada yang terpinggir daripada arus pembangunan. Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum,” katanya.

Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang menjadi fokus pertama RMK12, Ismail Sabri berkata beberapa industri strategik dan berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik; perkhidmatan global; aeroangkasa; industri halal; kreatif; pelancongan; biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan manakala transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diperkasa.

Beliau berkata kerajaan telah meluluskan beberapa program dan projek utama bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik, antaranya dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry atau Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju. 

Perdana menteri yakin dalam tempoh RMK12, Malaysia akan mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus, pembinaan 4.2 peratus, pelancongan 3.8 peratus manakala PMKS menyumbang 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada 2025.

Bagi merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar, beliau berkata Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia yang memberi kemudahan kepada penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat.

Menyedari pembangunan bakat penting untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, Ismail Sabri berkata seluruh sistem pendidikan negara bakal ditambah baik serta isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan akan ditangani.

Penambahbaikan sistem pendidikan itu antara lain meliputi pengukuhan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM); penggantian sekolah daif; memperkasa program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan mewujudkan sistem pendidikan tinggi lebih fleksibel.

Bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada selain merangka dasar kesihatan negara untuk meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan.

Perdana menteri mengumumkan pembinaan Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan tahun depan yang bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian disebabkan penyakit-penyakit berjangkit.

Beliau turut mengumumkan 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina dalam RMK12 selain menambah baik kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) atau sewa untuk dimiliki bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki kediaman.

Bagi membasmi kemiskinan tegar, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial akan diteruskan kepada yang layak, di samping memperuntukkan RM1.5 bilion untuk Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar.

Dalam ucapan pembentangannya, Ismail Sabri dengan panjang lebar menyentuh tentang inisiatif memperkasa agenda bumiputera, Orang Asli dan anak negeri dengan hasrat kerajaan untuk mencapai pembangunan sosioekonomi lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

Bagi menjayakan agenda bumiputera diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan, perdana menteri berkata Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi lebih jelas akan diwujudkan semula bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda bumiputera manakala pelan pembangunan sosioekonomi Orang Asli yang komprehensif sedang dirangka bagi memperkasa masyarakat itu.

Kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah juga tidak diabaikan dengan menambah baik Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru, meneruskan program infrastruktur asas dan ameniti sosial, serta menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan selaras Pelan Tindakan Masyarakat India.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti Job Coach, Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

Komited untuk menyelesaikan isu-isu Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Ismail Sabri berkata pembangunan Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMK12 meliputi keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.

Perdana menteri berkata sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu bagi mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah serta bandar dan luar bandar.

Katanya usaha akan dipertingkat bagi memastikan akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus selain memperuntukkan RM310 juta bagi Program Ameniti Sosial selain RM1.6 bilion untuk pembinaan Jalan Perhubungan Desa.

Dalam usaha mentransformasi sektor air negara, Ismail Sabri berkata Agenda Transformasi Sektor Air 2040 akan diperkenalkan dalam RMK12 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Bagi mempercepat pertumbuhan hijau, perdana menteri memberikan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050.

Perdana menteri turut mengumumkan struktur dan fungsi kementerian serta agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi di samping akan mengkaji cadangan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Awam.

Ismail Sabri memberi jaminan kerajaan akan memastikan pindaan perlembagaan yang membolehkan warganegara berumur 18 tahun dapat mengundi (Undi18) dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Saya sedar anak muda hari ini sentiasa ingin menyuarakan hasrat dan pandangan mereka untuk bersama-sama membangunkan negara melalui amalan demokrasi,” katanya.

Mengakhiri ucapan pembentangan usul RMK12 selama sejam 45 minit, Ismail Sabri meminta semua pihak mengetepikan perbezaan, sebaliknya berganding bahu untuk membina Malaysia yang berdaya saing dan berdaya tahan serta kalis cabaran.

“Mari kita kumpulkan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada di sebelah sini (kerajaan) dan di sebelah sana (pembangkang), untuk bersama-sama merealisasikan matlamat RMK12. Kita mesti mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat, demi Keluarga Malaysia,” katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

Dana RM700 Juta: 'Ya, Kami Ambil Keterangan Ismail Sabri' - SPRM

2

Semasa 6 bulan yang lalu

Dewan Negara Lulus Usul Kajian Separuh Penggal RMK12

3

Semasa 7 bulan yang lalu

Institut Kesihatan Mental Bakal Ditubuhkan - PM

4

Semasa 7 bulan yang lalu

RMK12: Kerajaan Struktur Semula Subsidi Bersasar Elektrik, Diesel, Petrol

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Reman Suspek Kes Tembak KLIA Disambung 5 Hari Lagi

oleh Wartawan Getaran

Semasa 17 jam yang lalu

Isham Jalil Kemuka Representasi Untuk Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Badan Kehakiman

Semasa 9 jam yang lalu

FINAS Taja Caruman SKSPS 4,500 Penggiat  Seni Untuk Setahun - Fahmi

Semasa 1 hari yang lalu

Warga Emas Pandu Lawan Arus Di Kuantan Ada Masalah Kesihatan – Polis