Berita Terkini

9 jam yang lalu: Perdana Menteri ditahan, Sudan isytihar darurat 9 jam yang lalu: SPRM Selangor tahan tiga individu termasuk seorang eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) 9 jam yang lalu: Rexy Mainaky dilantik semula sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan - BAM 13 jam yang lalu: LKIM Kedah akan mewujudkan stok penimbal ikan sejuk beku (Q-Fish) 14 jam yang lalu: China tunda marathon Beijing susulan peningkatan jangkitan coronavirus

IKUTI KAMI


Perceraian Jejas Emosi, Fungsi Individu

Semasa Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 20 Sep 2021 8:38AM

Gambar hiasan - Gambar dari Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini bahawa 76,786 pasangan, termasuk 66,440 yang beragama Islam mendaftarkan perceraian sepanjang Mac 2020 sehingga Ogos lalu, mengejutkan kerana ia menggambarkan betapa ‘sakit’ untuk mereka bertahan menempuh pandemik COVID-19. 

Ini turut terbukti apabila tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berhubung cabaran, tahap tekanan emosi dan kesihatan mental dihadapi ibu bapa serta corak perubahan persekitaran keluarga, mendapati 80 peratus golongan itu terkesan dengan pandemik, manakala 28 peratus berada dalam situasi lebih teruk.

Mengulas isu terbabit, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, statistik kadar perceraian itu sememangnya membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan ketara.

“Menerusi data saya (SUHAKAM), jika dibahagikan jumlah pasangan beragama Islam yang bercerai dalam tempoh 18 bulan sejak Mac lalu, sejumlah 1,989 pasangan mendaftarkan permohonan ini sebulan, 133 pasangan seminggu dan lima pasangan bagi setiap satu jam,” katanya ketika dihubungi Getaran.

 Noor Aziah Mohd Awal
Noor Aziah Mohd Awal

Noor Aziah berkata, walaupun segelintir pihak mungkin beranggapan jumlah kes  perceraian seharusnya berkurangan ketika pandemik kerana pasangan mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga, namun tindakan menamatkan ikatan perkahwinan itu tidak mengejutkan atas beberapa faktor.

Katanya, ramai kehilangan pekerjaan akibat pandemik sehingga terpaksa ‘bergelut’ dengan masalah kewangan dan terpaksa pula menampung kos keperluan kehidupan yang membuatkan mereka tertekan apabila duduk di rumah sepanjang masa.

Menurut beliau, tekanan berterusan itu boleh menyebabkan mereka ingin keluar daripada situasi terbabit dengan mengambil tindakan tertentu, termasuk bercerai.

“Ada antara suami isteri ini sudah mempunyai masalah hubungan, jadi apabila pandemik, keadaan ‘retak menanti belah’ itu menjadi lebih teruk sehingga mengakibatkan mereka memilih perceraian,” katanya.

Menurut Noor Aziah, punca masalah itu perlu ditangani sebaik mungkin oleh pasangan dan melalui kerjasama antara agensi agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bagi mengelakkan kesan buruk terhadap pihak berkaitan serta negara.

“Kesan buruk keruntuhan institusi kekeluargaan ini mewujudkan perselisihan dan perasaan tidak selesa, terutama membabitkan pembesaran anak,” katanya.

Siti Fatimah Abdul Ghani
Siti Fatimah Abdul Ghani

Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani pula berkata, sebarang isu membabitkan keluarga, seperti perceraian, pertelingkahan, kezaliman dan penderaan akan menggugat kesejahteraan emosi serta kefungsian individu.

Katanya, isu terbabit akan membawa kesan terhadap institusi keluarga, pembentukan masyarakat dan nilai negara, khususnya apabila tenaga kerja sumber manusia membabitkan individu berdepan perceraian ini terganggu daripada segi permikiran dan perasaan, tindakan serta prestasi mereka turut mencetuskan masalah, sekali gus menjejaskan produktiviti kerja.

“Kesejahteraan emosi dan kefungsian individu bermula daripada elemen ‘baiti jannati’ atau rumahku syurgaku yang memberi kebahagian dan ketenteraman jiwa untuk membuatkan individu lebih bersemangat, fokus, prihatin, cakna, bertanggungjawab serta berintegriti.

“Namun, apabila wujud gangguan kepada asas utama keluarga dan konsep rumahku syurgaku ini, mana mungkin kita mampu membentuk masyarakat yang lebih berdaya saing serta terlatih daripada segi emosi dan pemikiran,” katanya.

Ditanya kesan terhadap anak akibat perceraian dua individu penting dalam kehidupan mereka, Siti Fatimah berkata, implikasi terbabit boleh dilihat menerusi aspek positif dan negatif.

Aspek positif, katanya, wujud sekiranya perceraian menjadi jalan penyelesaian konflik suami isteri dan solusi terbaik kepada anak daripada melihat ibu bapa bertengkar atau tidak bertegur sapa di bawah satu bumbung, sehingga mencetuskan suasana tidak aman dalam rumah.

Siti Fatimah berkata, implikasi positif daripada perceraian diperoleh jika pasangan itu bersikap matang demi kebaikan kedua-dua pihak, termasuk berjanji menjadi ibu bapa secara bersama mengikut giliran serta kesefahaman bagi memastikan kepentingan anak tidak terabai.

“Implikasi negatif pula boleh berlaku sekiranya wujud gelodak emosi dan tiada penyelesaian terbaik susulan perceraian, sekali gus menyebabkan keperluan psikologi anak untuk dilindungi ibu bapa sebaik mungkin terjejas.

“Situasi ini membuatkan anak mengalami defisit psikologi asas, iaitu kekurangan kasih sayang sama ada di sebelah ibu atau bapa yang memberi kesan kepada penghargaan diri. Mereka tidak ada perasaan memiliki, sandaran kasih sayang, dihargai atau tertanya kedudukan diri, terutama apabila ibu atau bapa mendapat pasangan ganti dalam tempoh singkat,” katanya.

Bagi mengelakkan kesan negatif perceraian terhadap kehidupan masa depan dan anak, katanya, pasangan bercerai mesti mempratikkan konsep ‘3W 1H’, iaitu apa (what), bila (when), kenapa (why) dan bagaimana (how).

“Konsep ini membolehkan pasangan mengenalpasti atau membuat ‘intervensi’ mengenai apa berlaku, punca berlaku, apa perancangan dan bagaimana melaksanakannya. Kena selalu ada intervensi supaya tindakan diambil bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi penyelesaian terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut, Siti Fatimah berkata, sekiranya pasangan bercerai ini tidak mengambil tindakan betul, saudara mara perlu memainkan peranan untuk mengintervensi mereka bagi memperbetulkan keadaan dengan bertanya khabar, mengambil tahu perancangan, memberi ingatan baik dan mengusulkan nasihat bermakna supaya mereka tidak lalai daripada tanggungjawab asal.

“Anak daripada keluarga bercerai ini juga perlu dibimbing dan kekurangan dipenuhi ahli keluarga lain supaya dapat berfungsi seperti orang lain. Jika tidak, sejauh mana mereka berjaya, tetap akan ada defisit, emosi terganggu dan distorsi kognitif,” katanya.

Dr Zanariah Noor
Dr Zanariah Noor

Sementara itu, Prof Madya Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zanariah Noor berkata, kemelut dialami setiap individu, termasuk pasangan suami isteri diyakini boleh diselesaikan sekiranya mereka kembali kepada tuntutan agama.

Jelasnya, setiap pasangan suami isteri harus menjalankan peranan mengikut tanggungjawab dan hak masing-masing berpandukan kepada ajaran Islam bagi mengelakkan berlaku ketidakseimbangan dalam rumah tangga.

Zanariah berkata, tanggungjawab dan hak adalah perkara berkaitan yang perlu dilaksanakan secara bersama bagi mengelakkan tercetus masalah atau ketidakpuasan perasaan.

“Tanggungjawab dan hak adalah satu pakej. Hak suami adalah mendapatkan ketaatan daripada isteri, tetapi hal ini perlu disertakan dengan tanggungjawab untuk memberi layanan baik kepada isteri dan wajib menyara keperluan asas.

“Setiap manusia tidak terlepas berdepan masalah, ujian kesukaran hidup dan perasaan tidak puas hati, terutama apabila pengorbanan hanya dilakukan sebelah pihak sahaja, contohnya isteri lebih banyak berbelanja untuk keluarga,” katanya.
 

Sorotan

1

Mahkamah Benarkan Permohonan Pasport Shafee Ke New York

2

Laksanakan Semula Program Sarapan Pagi Percuma - Dr Maszlee

3

‘Hari Gelap’: Solskjaer Kesal Selepas Dimalukan Liverpool

4

13 Penyanyi Berkumpulan Wanita Malaysia Dari 80-an Sehingga Kini

Disyorkan untuk anda

Semasa 14 jam yang lalu

Penyelia Tapak, Individu Pertama Dihukum Bawah Enakmen Sumber Air Di Pahang

Semasa 23 jam yang lalu

Elak Tindakan, Guru Wajar Patuhi Pekeliling 

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

Kanak-Kanak Jatuh Sungai Ditemui Lemas

oleh Ardyhansah Amat

Semasa 14 jam yang lalu

Pamer Aksi Berbahaya, 9 'Superman' Ditahan

oleh Nik Khaleef Fitri