Pelakon, penyanyi dan pengarah Liyana Jasmay mengakui dirinya masih sedih atas kehilangan kedua-dua insan tersayang hanya dalam masa 17 bulan susulan kanser.
Bagaimanapun, menurut Liyana dia reda dan percaya ibu bapanya kini berada di tempat yang lebih baik.
“Saya baru sahaja kehilangan arwah mama pada 12 Mei lalu iaitu 17 bulan selepas arwah bapa meninggalkan saya pada tahun 2021.
“Namun, saya reda sebab saya tahu mereka berada di tempat yang lebih baik sekarang, lebih tenang dan mereka tidak lagi dalam kesakitan,” katanya kepada Getaran.
Liyana berkata demikian ketika sidang media siri baharu, ‘Alter-Naratif’ terbitan Viu Malaysia di ibu kota baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Liyana Jasmay ini turut berkongsi rasa syukur apabila dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri buat kali terakhir tahun ini bersama arwah ibunya walaupun cuma seketika.

“Memang sedih bila saya terfikir tahun ini merupakan raya terakhir bersama mama. Namun saya bersyukur dapat meraikannya bersama-sama.
“Saya pakaikan dia baju raya dan kami bergambar walaupun ketika itu mama sudah tidak boleh lagi bercakap. Jadi momen-momen menyeronokkan bersama ibu akan membuatkan saya kembali tersenyum. Memori itu menjadi kenangan saya hingga hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, berkongsi berkenaan penyakit barah otak yang dihidapi ibunya, Allahyarham Datin Habsah Simpon, Liyana berkata penyakit itu lambat dikesan menjadi punca arwah meninggal dunia.
Jelas pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 itu, penyakit itu hanya diketahui selepas kanser tersebut berada di tahap terakhir.
“Arwah ibu saya sebenarnya mengalami masalah penglihatan sejak tiga tahun lalu. Jadi saya ajak dia tinggal bersama-sama memandangkan rumahnya terlalu besar, susah untuk turun naik tangga.
“Namun, sebelum mama menjalani pembedahan mata, kami sempat pergi bercuti. Selepas pembedahan, tiba-tiba mama mula jalan senget dan perkara itu telah dikesan oleh suami saya. Hasil pemeriksaan yang dilakukan akhirnya mendapati mama menghidap barah otak,” katanya sebak.
Dalam pada itu, Liyana mengakui situasi itu menjadikan dia takut dan kini lebih mengambil tahu tentang status kesihatannya memandangkan kedua-dua orang tuanya meninggal dunia disebabkan penyakit kanser.
Selain menjalani pemeriksaan secara berkala, dia kini lebih menitikberatkan soal kesihatan dengan menjaga pemakanan dan mengelak untuk mengambil makanan proses dan berlemak.
“Sejujurnya, saya takut apabila ibu bapa meninggal akibat kanser dan perkara yang menimpa mereka menjadi pengajaran untuk saya menjaga kesihatan.
“Arwah bapa meninggal disebabkan kanser paru-paru, manakala arwah mama pula disebabkan barah otak. Jadi, genetik saya memang berisiko untuk menghidap kanser,” tambahnya.
Untuk rekod, bapa pelakon Liyana, Datuk Jasmay Md. Shah menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun akibat kanser paru-paru pada 17 Disember 2021.
Manakala ibunya pula disahkan menghadapi barah otak pada usia 66 tahun dan meninggal dunia selepas dua bulan. – Getaran, 24 Mei 2023