Bukan disebabkan menghadiri Met Gala 2023 yang berlangsung di Metropolitan Museum of Art in New York City pada Isnin petang (Selasa pagi waktu tempatan Malaysia, namun kehadiran Nabila Huda di kota metropolitan fesyen itu adalah untuk menjayakan program travelogue terbaharu.
Namun, apa yang menariknya, sepanjang 30 hari menjayakan syuting travelogue itu di sana, pelakon dan pengacara versatil ini akan mengenakan pakaian tradisional kebaya rekaan sebuah rumah jenama fesyen tempatan yang terkemuka iaitu Royal Kebaya.
“Kenapa nak pakai macam ‘New Yorker’ sedangkan kita patut bangga dengan pakaian tradisional kita. Kita patut berbangga dengan budaya kita, batik kita. Jadi saya memilih kebaya untuk siri travelog saya kali ini.
"Pasti menakjubkan nanti bila terkedek-kedek masa berada di Time Square nantikan,” katanya sambil memperlihatkan koleksi baju kebaya dan kasut yang dibawanya ke sana.

Bahkan, pada hari penggambaran syuting, Nabila atau lebih mesra sebagai Abil ini telah memperagakan salah satu koleksi baju kebaya tersebut yang berwarna jingga dengan bunga warna merah jampu pada hujung baju, dipadankan dengan kain batik ikat rona krim yang mempunyai bunga jingga pada hujung kain.
Abil melengkapkan penampilannya dengan mengenakan aksesori yang bersesuaian beserta kasut berwarna merah jambu serta cermin mata putih yang cukup bergaya. Memang vogue habislah penampilan Nabila.
Pada hari kedua penggambaran, Abil mengenakan kebaya biru dengan skirt panjang warna sedondon bersama selendang bulu.
“Hari ini cuaca sedikit lebih sejuk,” kata Abil.
Ramai rakan selebriti dan netizen yang memberikan kata pujian terhadap Nabila sambil memuji bahawa penampilannya kelihatan cukup vazz dan meletup pada syuting hari pertama siri travelogue tersebut.

Abil juga turut berkongsi sebuah video yang menunjukkan beberapa trenchcoat terpakai yang dibelinya kerana cuaca di New York ketika ini sangat sejuk.
Dalam video itu juga, Abil turut menunjukkan koleksi aksesori yang akan dipadankan dengan 30 koleksi baju kebayanya itu.
"30 hari syuting, 30 kebaya," katanya sambil memberitahu bahawa dia akan menjaga kesemua koleksi aksesori dan baju kebaya itu dengan baik sekali. – Getaran, 3 Mei 2023