Penyanyi sensasi, Baby Shima meluahkan kekecewaannya terhadap sesetengah ahli parti politik PAS yang dikatakan sering mempertikaikan apa yang dilakukannya sama ada baik atau buruk.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik pelantun lagu 'Pura-Pura Bujang' itu di Instagram, dia telah berkongsi tangkap layar komen seorang netizen yang dipercayai ahli PAS yang telah mengecam Baby Shima sebagai penjual agama kerana memakai tudung di sebuah majlis baru-baru ini.
“Kenapa banyak geng-geng PAS pertikaikan Shima bersopan? Pak cik ni adalah orang kuat PAS, tapi jahatnya mulut.
“Hari itu bising sebab Shima seksi, sekarang bising sebab Shima pakai sopan. Tak fahamlah dengan geng-geng PAS ni, semua tak kena,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Tambah Shima lagi, dia tahu dia masih belum menutup aurat dengan sempurna dan tahu tentang dosa tidak menutup aurat, tetapi dia memakai tudung di majlis berkenaan adalah demi menghormati majlis.
“Memanglah Shima belum menutup aurat lagi, tetapi Shima nak menghormati majlis agama. Memanglah Shima tahu tak tutup aurat itu dosa. Tapi sampai hati pak cik PAS ni cakap Shima ikut kesesuaian majlis sebab jual agama.
“Salah ke Shima pakai sopan di majlis itu pak cik? Ramainya yang pertikaikan kenapa Shima tutup aurat pada majlis Israk Mikraj,” luahnya kecewa.
Sementara itu dalam satu hantaran yang lain pula, Shima berkongsi tangkap layar seorang lagi ahli PAS yang menuduhnya menggunakan agama untuk dunia dangdut.
“Baru Shima tahu selama ini Shima menyanyi dangdut untuk tunggang agama. Rasanya dangdut tak ada pula tunggang agama, hebat tuan haji PAS ni. Yang Shima tahu, politik tuan haji yang tunggang jual agama,” tulisnya.
Di bahagian komen pula kelihatan ramai netizen yang bersimpati dengan nasib yang menimpa Baby Shima kerana telah dikecam biarpun telah memakai pakaian yang sopan sewaktu membuat persembahan.

Ada juga netizen yang mempersoalkan kenapa Baby Shima cuba menekankan tentang parti PAS, kata Baby Shima jika dilihat di laman Facebook, 90 peratus daripada geng PAS dari Kuantan tidak berpuas hati dengannya.

Turut kelihatan komen rakan selebriti iaitu Damian Mikhail yang turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Baby Shima. Kata Damian, pak cik itu harus menurunkan pandangannya terlebih dahulu.

Semoga Baby Shima sabar menempuh dugaan ini dan teruskan menghormati apa yang sepatutnya dihormati. – Getaran, 21 Februari 2023.