“Lumrah manusia, kadangkala tersasar melakukan kesilapan,”
Demikian respons Zul Huzaimy sewaktu mengulas mengenai kontroversi video memaparkan pelakon itu mengeluarkan kata-kata bersifat perkauman yang tular di media sosial.
Menurut Zul, apa yang terjadi merupakan sebuah pengajaran dan memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan ucapannya di dalam klip berkenaan.
“Saya manusia biasa yang tidak lepas melakukan kesilapan. Kadangkala tersasar menggunakan perkataan yang tidak sesuai. Saya bukanlah artis yang sukakan kontroversi.
“Saya berharap peminat memahami apa yang berlaku kerana ini juga lumrah manusia biasa yang kadangkala tersasar melakukan kesilapan.
“Apapun, saya ambil ini sebagai pengajaran. Saya kesal dengan tindakan itu,” katanya kepada Getaran ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Daddyku Gengster.
Akibat penularan video itu juga, Zul turut menerima ancaman dan ugutan namun tidak mahu bercakap panjang mengenainya dan menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis.
“Saya ada menerima ugutan namun saya tidak mahu mendedahkan dalam bentuk apa. Tambahan pula kes masih dalam siasatan polis. Saya serahkan segalanya kepada pihak polis,” katanya.

Bercakap mengenai situasi politik hari ini, Zul berharap Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dilantik dapat membantu memajukan ekonomi negara yang berada dalam keadaan yang tidak stabil.
“Saya harapkan supaya ekonomi negara akan naik semula selepas merudum sehingga tujuh peratus berbanding bulan lalu. Adakah situasi ini kita nak tengok lagi akibat keadaan tidak stabil kerana masing-masing bercanggah idea tentang siapa yang patut jadi Perdana Menteri.
“Semoga kita reda dengan pihak yang dipilih raja-raja dengan hati yang tenang,” tambahnya.
Terkini, Zul membintangi watak utama dalam naskhah yang mengangkat kisah gangstarisme dan kekeluargaan dalam filem Daddyku Gengster. Memegang watak sebagai Ray, Zul yang juga seorang pencuri kereta terpaksa menjaga anak kepada arwah abangnya yang meninggal akibat kemalangan.
Sepanjang bergelar ‘daddy’ kepada dua orang kanak-kanak, kehidupan Ray sebagai seorang gangster berubah serta-merta. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 1 Disember ini. - Getaran, 24 November 2022
