Hujan lebat yang berterusan sejak petang Jumaat telah menyebabkan sejumlah kawasan rendah termasuk Pelabuhan Klang dilanda banjir kilat. Kejadian ini turut menyebabkan laluan beberapa lebuh raya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur-Karak (KLK) terputus.
Oleh itu, pengguna jalan raya terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk mengelakkan daripada terkandas. Ramai pengguna media sosial termasuk selebriti yang berkongsi mengenai kesesakan teruk di jalan raya serta kenaikan air di kawasan kediaman mereka.
Penyanyi dan pelakon Lan Solo turut berkongsi video banjir yang berlaku di kediamannya di Kampung Sri Aman, Puchong dalam beberapa hantaran Instagram. Meskipun keadaan masih terkawal, namun hujan yang masih belum berhenti menyebabkan air melimpah masuk ke dalam kediaman serta berterusan naik sehingga ke paras lutut.
“Bekalan elektrik juga terputus. Mungkin ada pokok tumbang. Angin tengah kuat, hujan belum berhenti. Air masih bertakung. Itu sahajalah laporan dari Kampung Puchong,” katanya.
Keadaan hujan yang tidak berhenti juga memaksa penyanyi Afieq Shazwan dan ibunya untuk mencari tempat berteduh sementara yang lain bimbang tentang keadaan mereka jika air terus naik.
Afieq yang berkongsi dalam hantaran Instagram Stories situasi dalam dan luar kawasan kediamannya berkata ini kali pertama rumahnya mengalami banjir.

Pelakon Riezman Khuzaimi turut berkongsi kesesakan di lebuh raya ketika dirinya terkandas selama lebih 13 jam dan air mula menaik cecah paras lutut susulan hujan lebat.
“Saya dari jam 4.30 petang ‘stuck’ di Lebuh Raya Federal, Shah Alam. Sekarang sudah jam 5.30 pagi. Ramai yang tersangkut. Saya kesian nampak anak-anak kecil di sini. Saya hanya nampak pasukan bomba. Tidak adakah tinjauan daripada pasukan yang lain?
“Namun begitu, publik tak kiralah bangsa dan agama yang sama-sama menolong,” tambahnya.
Pada masa yang sama, ratusan kenderaan yang melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Bentong turut terkandas apabila berlakunya tanah runtuh dan pokok tumbang. Pelakon dan pengacara, Fizo Omar yang berada di lokasi kejadian turut berkongsi dua video melalui profil rasminya di Instagram.
“Sekarang kita sangkut di lebuh raya Karak, tanah runtuh memang tak boleh lalu. Depan situ banjir jadi berkampunglah dekat sini.
“Tanah runtuh di Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur. Semua kereta tersangkut di sini. Tak boleh nak patah balik sebab air sudah mula naik dan tidak lepas untuk kenderaan.
“Sesiapa yang merancang untuk ke Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Karak ini, sila tangguhkan dahulu. Memang tak lepas,” katanya.
Dia juga berkata bahawa tidak ada apa-apa bantuan setakat ini kerana semua laluan terputus di Karak.
“Diharapkan juga pihak LPT ambil tindakan yang sewajarnya untuk menghalang kenderaan dari terus masuk dari tol Gombak dan tol Karak.
“Tak berdaya dah kami bantu. Ada ramai yang terkandas termasuklah anak-anak kecil dan warga emas di tengah hujan lebat ini,” jelasnya.
Penyanyi, Hanifah Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black dan isterinya, Naquia Yasirah juga turut berkongsi keadaan di bengkel mereka. Lewat hantaran Instagram mereka, dilihat air banjir sudah melebihi paras dada.
Black berkata ini kali kedua premisnya dibanjiri setelah 20 tahun. Dia juga bersyukur kerana semua pekerjanya selamat beralih ke tingkat dua premis sebelum keadaan menjadi buruk. Malah, kesemua kereta pelanggannya juga sempat diselamatkan.
“Keadaan di bengkel kami petang tadi, compressor oven semua rosak. Tapi tak apa, janji semua pekerja selamat. Moga Allah lindungi mereka,” kongsi isterinya.
Jika anda terjejas akibat banjir, sila hubungi Pejabat Pertahanan Awam (APM) yang berhampiran untuk panggilan kecemasan alternatif. Diharapkan agar semua berada dalam keadaan yang selamat. - Getaran, 19 Disember 2021