Berita Terkini

16 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Layan Pesakit Seperti Keluarga, Dr Sathia Tak Jemu Berbakti

Rencana Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Jul 2021 4:22PM

Cita-cita asal Dr Sathia adalah untuk menjadi juruterbang. - Gambar ihsan SPCare

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

RAWANG - Cita-cita asalnya adalah mahu bergelar seorang juruterbang, namun ia terhalang dek ketakutan si ibu yang risau jika pesawat dipandu zuriat kesayangan terhempas, lalu meragut nyawa anak sulung daripada dua beradik itu.

Halangan tersebut ternyata merintis laluan Dr Sathia Prakash Nadarajan untuk terjun dalam bidang perubatan, sebelum melakar nama sebagai antara pakar kesihatan berjaya di negara ini.

Akur dengan kehendak ibu, beliau pasrah meneruskan pelajaran di dalam jurusan perubatan, dengan menghadiri peringkat pra universiti di India sebaik memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketika ditemui di kliniknya di sini Dr Sathia memberitahu, panggilan temuduga sebagai juruterbang dengan syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) terpaksa dilupakan selepas menerima bantahan ibunya.

“Ibu kata, (kalau) awak jadi juruterbang, (bila) pesawat terhempas, awak (akan) mati. Ibu memang bersungguh menentang hasrat itu dan saya memutuskan untuk menurut kehendaknya demi menjaga hati beliau,” katanya, tertawa kecil mengimbas kenangan lalu.

Dr Sathia tidak pernah melepaskan peluang bertemu sendiri dengan setiap pesakit yang hadir di klinik, bagi mengenali mereka dengan lebih dekat. - Gambar ihsan SPCare
Dr Sathia tidak pernah melepaskan peluang bertemu sendiri dengan setiap pesakit yang hadir di klinik, bagi mengenali mereka dengan lebih dekat. - Gambar ihsan SPCare

Lahir dalam sebuah keluarga berpendapatan rendah di sebuah perkampungan kecil di Rawang, anak kepada seorang posmen itu dibesarkan dengan disiplin yang ketat oleh kedua ibu bapa, demi memastikan pelajarannya tidak terabai.

Percaya atau tidak, Dr Sathia memberitahu, bapanya enggan membeli televisyen kerana tidak mahu pelajaran dua anaknya terabai jika terlalu asyik menonton pelbagai rancangan hiburan.

“Ketika itu, saya amat meminati siri televisyen MacGyver dan American Shaolin, jadi setiap malam Isnin dan Rabu, saya akan pergi ke rumah datuk yang terletak berhampiran untuk menonton.

“Rumah saya pula adalah dari jenis gabungan papan dan kayu, dengan tandas berada di luar. Setiap pagi akan ada seorang petugas pembersihan yang mengangkut tong-tong najis untuk dibuang,” katanya.

Kesukaran hidup yang dilalui jelas beliau, membantu membentuk jati diri untuk tabah menempuh segala dugaan, khususnya ketika melanjutkan pelajaran di rantau orang.

“Saya adalah antara anak kampung pertama berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, dan ia adalah satu pengalaman paling berharga kerana membantu melahirkan Dr Sathia yang anda lihat sekarang,” jelasnya.

Suami kepada seorang wanita Russia itu berkata, beliau juga adalah antara golongan perintis yang diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Russia, selepas menamatkan peringkat pra universiti di India.

“Ketika itu saya berdepan masalah kewangan kerana kos pengajian di India amat mahal, dan atas niat tidak mahu membebankan ibu bapa, saya memutuskan untuk kembali ke tanah air.

“Tidak lama kemudian, kerajaan membuka peluang melanjutkan pelajaran ke Russia dalam jurusan perubatan, dan saya antara yang terpilih,” katanya.

“Saya sebenarnya bersyukur kerana penolakan berkenaan membawa kepada tertubuhnya SPCare Group.”

Memiliki seorang adik lelaki yang juga seorang doktor di Perak, semangat dan iltizam Dr Sathia untuk berjaya dalam pelajaran bertunjangkan kepada kepayahan bapanya mencari wang bagi membiayai pelajaran mereka dua beradik.

“Saya menyaksikan sendiri bagaimana bapa menggunakan semua simpanan, malah tidak teragak-agak untuk menggadaikan rumah kami semata-mata untuk memastikan biaya ke Russia mencukupi.

“Bergaji kecil bukan halangan untuk beliau, kerana apa yang penting baginya, pelajaran saya perlu diteruskan hingga berjaya menggenggam ijazah,” katanya, sayu mengenang pengorbanan seorang ayah.

Menyambung pengajian di Kursk State Medical University dan Crimea State Medical University pada 2002, Dr Sathia meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan pengkhususan dalam aspek Traumatologi dan Ortopedik di Russia, sekali gus melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama berbuat demikian.

Enggan membebankan ibu bapa, doktor yang sentiasa tersenyum manis itu mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan bagi menampung yuran pengajian, malah memilih meneruskan pelajaran dengan menggunakan bahasa Russia sebagai bahasa pengantar kerana perbelanjaan dikenakan jauh lebih rendah.

“Semasa di sana, saya mendapat tahu yuran dikenakan jauh lebih murah jika pelajar meneruskan pengajian di dalam bahasa Russia berbanding bahasa Inggeris lalu terus membuat keputusan untuk mempelajarinya walaupun sukar.

“Demi berjimat, saya pernah bergantung kepada roti dan air Coca-Cola sebagai sumber makanan, kerana tidak mahu membazir wang yang ada,” katanya.

Melakar kejayaan dan berhasil membina kehidupan stabil di negara bekas Kesatuan Soviet itu, Dr Sathia bagaimanapun kembali ke tanah air atas desakan kedua ibu bapa.

“Saya menjalani tempoh housemanship selama setahun di hospital kerajaan, sebelum dihantar bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Perjalanan menubuhkan SPCare bermula ketika ini, dan bagi merealisasikan tujuan itu, saya bertemu dengan dua pemilik rangkaian klinik terkemuka, untuk memohon francais,” katanya.

Beliau menarik perhatian, permohonan tersebut ditolak mentah-mentah hanya kerana status dirinya yang bukan sesiapa ketika itu.

“Sedikit sebanyak saya sebenarnya bersyukur kerana penolakan berkenaan membawa kepada tertubuhnya SPCare Group, yang sehingga kini memiliki rangkaian 13 klinik di seluruh Selangor,” katanya, bangga.

Senarai 13 cawangan klinik SPCare. - Gambar ihsan SPCare
Senarai 13 cawangan klinik SPCare. - Gambar ihsan SPCare

Dr Sathia memberitahu, cawangan pertama klinik SP Care ditubuhkan pada Januari 2009 dan sehingga kini mereka memiliki lebih 150 petugas dalam pelbagai bidang.

“Melihat kepada semua kesukaran itu, saya dengan bangga boleh katakan, segala kerja keras dan kepayahan yang dilalui sejak kecil kini sudah menampakkan hasil.

“Di mana saya berdiri ketika ini, semuanya adalah hasil pengorbanan serta jerih perih ibu bapa yang banyak berkorban. Tanpa semua itu, SPCare Group tidak akan wujud sama sekali,” katanya.

Apa yang menarik, setiap cawangan klinik SPCare ditubuhkan berdasarkan permintaan pesakit, dengan mengambil kira kesukaran mereka untuk mendapatkan rawatan.

“Jika anda lihat, majoriti klinik kami ditubuhkan dengan mengambil kira kesukaran pesakit, kerana ada yang mengalami masalah pengangkutan.

“Kemudahan dan keselesaan pesakit adalah keutamaan kami dalam memberi perkhidmatan,” tegasnya.

Berpegang kepada motto ‘layan pesakit seperti keluarga sendiri’, Dr Sathia sememangnya tidak akan berkompromi dalam aspek itu, kerana ia adalah objektif utama penubuhan SPCare Group.

“Memang SPCare Group adalah perkhidmatan perubatan swasta, tetapi itu bukan alasan untuk semua petugas bersikap sambil lewa. Saya memang menekankan aspek ini, kerana semua pesakit yang hadir bertemu kami adalah ibu, bapa atau ahli keluarga seseorang.

“Cuba bayangkan jika keluarga mereka dilayan endah tak endah, sedangkan berada dalam kesakitan. Pasti menyedihkan, bukan?” katanya.

Mengakui kesal dengan sikap segelintir generasi baharu petugas perubatan, Dr Sathia berkata, nilai kemanusiaan dan empati dilihat semakin terhakis, menyebabkan tugas dilakukan hanya sekadar mengisi tanggungjawab.

“Layanan dengan penuh rasa hormat dan empati sebenarnya banyak membantu proses pemulihan mereka. Sering kali pesakit yang hadir ke klinik kami memberitahu, penyakit dihidapi sembuh dengan lebih cepat apabila mendapatkan rawatan di sini berbanding tempat lain,” katanya sambil tertawa kecil.

Ditanya mengenai perancangan di masa hadapan, beliau tidak menolak kemungkinan membuka cawangan di luar Selangor, sebaik keadaan kembali pulih.

“Untuk membuka cawangan baharu memerlukan banyak proses dan penilaian terperinci, semua itu perlu diperhalusi untuk memastikan objektif ditetapkan dapat dicapai.

“Saya memang bercita-cita mahu membina nama SPCare sebagai satu jenama yang kukuh, namun ia perlu dilakukan dengan teliti. Saya tak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran,” jelasnya. - Getaran, 5 Julai 2021

Berita Berkaitan

1

Luar Negara 3 bulan yang lalu

Motaz Azaiza Tersenarai Men Of The Year GQ Middle East

2

Semasa 6 bulan yang lalu

Dua Mangsa Rentung, Kereta Bertembung Lori Kontena

3

Semasa 8 bulan yang lalu

KKM Naik Taraf 138 Klinik Zon Utara Dan Kelantan, Babit Peruntukan Lebih RM34 Juta 

4

Semasa 10 bulan yang lalu

Bantu Doktor Kontrak Buka Klinik: ‘Tawaran MARA Menarik Tapi Berisiko Muflis’

Sorotan

1

Hampir 20,000 Buah Mangga Malaysia Dilupuskan Di Riau

2

Stoking Kalimah Allah: Jangan Ambil Tindakan Sendiri - KPN

3

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

4

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

5

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

6

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

7

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis