Berita Terkini

3 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Batik Malaysia: Jadilah Jauhari Mengenal Manikam, Elak Ditipu Terbeli Tiruan

Rencana Dikemaskini 8 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 14 Sep 2023 5:59PM

Kakitangan Kraftangan Malaysia menunjukkan demonstrasi mewarna batik pada sesi bersama pengamal media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini. gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pada sesi taklimat media bersama Kraftangan Malaysia mengenai industri batik negara ini, ramai pengamal media termasuk penulis, gagal membezakan antara batik Malaysia dan batik cetak - batik yang dibawa masuk dari negara serantau - ketika diminta berbuat demikian.  

Pada pandangan mata kami, kedua-dua jenis batik yang ditunjukkan itu nampak sama dan sempurna, khususnya dari segi lakaran corak.

Barangkali tahu akan dangkalnya ilmu masyarakat mengenai batik, ada peniaga termasuk pengusaha butik terkenal, turut menjual batik cetak yang dianggap oleh pembeli sebagai batik Malaysia, sementelah produk kraf import itu juga dijual semahal batik asli Malaysia.

Ditambah pula permintaan tinggi terhadap batik. Misalnya untuk tahun ini, nilai jualan bagi tempoh lapan bulan pertama sudah mencecah RM67.4 juta. Industri itu merekodkan nilai jualan tertinggi berjumlah RM176.4 juta pada 2019.

Kakitangan Kraftangan Malaysia menunjukkan demonstrasi Batik Canting pada sesi bersama pengamal media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini. gambar BERNAMA
Kakitangan Kraftangan Malaysia menunjukkan demonstrasi Batik Canting pada sesi bersama pengamal media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini. gambar BERNAMA

Hakikatnya, lambakan batik cetak sudah menjadi isu di negara ini sejak sekian lama, sekali gus memberi cabaran hebat kepada pihak berwajib dalam mengekalkan kelangsungan warisan tradisional yang dikongsi bersama Indonesia itu. 

Ekspoitasi 

Susulan dasar kerajaan mewajibkan penjawat awam berpakaian batik Malaysia pada setiap Khamis berkuat kuasa 21 Ogos lalu, suara kebimbangan mengenai peniaga mengeksplotasi dasar itu dengan mengetengahkan batik cetak sebagai batik Malaysia kembali kuat kedengaran.

Menurut Kraftangan Malaysia, mereka menerima maklumat orang awam yang meluahkan rasa kecewa di media sosial kerana terpedaya membeli batik cetak pada harga yang agak tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia Abdul Halim Ali ketika ditemu ramah Bernama, berkata perbuatan peniaga tidak bertanggungjawab terbabit boleh dianggap sebagai menipu, dan jika dilakukan oleh mereka yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia, pengusaha berkenaan akan dikenakan tindakan. 

“Kami dapati ada beberapa peniaga di bawah Kraftangan Malaysia menjual batik cetak, dan antara tindakan yang diambil ialah memberi amaran, dan sekiranya didapati masih mengulangi, mereka akan digantung penyertaan serta tidak boleh lagi mengikuti mana-mana program promosi kami,” katanya.

Sambil menunjukkan jenis kain batik, Abdul Halim berkata terdapat beberapa perbezaan ketara antara batik Malaysia dan batik cetak, antaranya adalah fabrik yang digunakan. 

"Batik cetak menggunakan fabrik daripada poliester, selain bahagian belakang kain juga tidak ditembusi warna," katanya.

Jelas beliau, batik cetak juga digelar salinan fotostat oleh pengusaha batik kerana lakaran corak atau motif tidak mempunyai sebarang cacat cela, iaitu seragam dan sempurna kerana produk itu dihasilkan oleh mesin, sedangkan batik Malaysia adalah kraf kerja tangan manusia sepenuhnya. 

 Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Zamri Mat Zain (tengah) dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli (dua, kiri) bersama wakil-wakil daripada Persatuan Agensi Pelancongan Umrah Dan Haji (PAPUH), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) selepas acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada sesi bersama media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf baru-baru ini. gambar BERNAMA
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Zamri Mat Zain (tengah) dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli (dua, kiri) bersama wakil-wakil daripada Persatuan Agensi Pelancongan Umrah Dan Haji (PAPUH), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) selepas acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada sesi bersama media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf baru-baru ini. gambar BERNAMA

“Definisi batik itu sendiri (bermaksud) perlu menggunakan teknik penghalang warna sama ada lilin, tanah liat mahupun gam sagu atau linut bagi memberi kesan unik pada  reka corak, selain perlu melalui pelbagai proses lain sebelum siap menjadi sehelai kain,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, batik cetak tidak melalui proses membatik seperti memblok/menerap, mencanting, mewarna, merebus, membilas dan mengering, sekali gus kos penghasilan produk itu jauh lebih rendah berbanding batik Malaysia.

Harga lebih mahal

Tidak menafikan proses membatik antara faktor yang menyebabkan harga batik Malaysia mahal, beliau berkata sebenarnya masih ada baju atau kain batik Malaysia pada harga mampu milik, bergantung pada jenis material dan teknik yang digunakan.

Di lokasi tumpuan jualan batik seperti Pasar Payang, Terengganu dan Pasar Besar Siti Khadijah, Kelantan mahupun secara dalam talian, batik Malaysia, sama ada dalam bentuk kain atau baju siap, ada yang berharga bawah seratus ringgit.

Ironinya, ada pakaian batik cetak berjenama yang dijual di pusat beli-belah berharga melebihi RM200 sehelai.

Kakitangan Kraftangan Malaysia menunjukkan demonstrasi Batik Alternatif menggunakan teknik ‘silk screen’ dan linut ketika sesi bersama media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini. gambar BERNAMA
Kakitangan Kraftangan Malaysia menunjukkan demonstrasi Batik Alternatif menggunakan teknik ‘silk screen’ dan linut ketika sesi bersama media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini. gambar BERNAMA

Bagi Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli, harga batik Malaysia tidak seharusnya menjadi isu kerana pilihan di tangan pengguna.

"Bagi yang sukakan fabrik berkualiti tinggi seperti sutera, sudah tentu mereka perlu membayar pada harga yang lebih," kata beliau.

Beliau melihat harga purata batik Malaysia sebagai berpatutan, mengambil kira proses menghasilkan sehelai batik.

Bagi peniaga, lambakan batik cetak yang semakin berleluasa di negara ini turut disumbang oleh ketiadaan undang-undang khusus untuk melindungi batik Malaysia.

Shahrul Azam Kamaruddin, pengusaha Qaseh Batik di Kota Bharu, Kelantan, berpendapat kewujudan undang-undang sedemikian adalah perlu bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi istilah 'batik'.

“Perkataan batik itu sendiri memainkan peranan sangat besar dalam seni warisan ini, dan  kerana itu batik cetak tidak boleh dianggap sebagai ‘batik’ dan mereka yang menjualnya perlu mengklasifikasikan produk tersebut hanya sebagai tekstil,” katanya.

Beliau juga yakin undang-undang itu dapat membangkitkan kesedaran peniaga dan masyarakat mengenai natijah menyalahgunakan istilah batik menerusi tindakan yang diambil oleh pihak berwajib.

Menurut Shahrul Azam, lebih membimbangkan apabila kini ada trend mencetak bahagian depan dan belakang fabrik supaya menyerupai batik Malaysia.

 “Saya dapati ada pasar raya utama di negara ini yang menjual batik cetak hampir serupa dengan batik Malaysia apabila kainnya dicetak depan dan belakang berbanding sebelum ini hanya pada bahagian depan.

“Jadi agak sukar untuk kita membezakan batik cetak ini, tetapi pengguna boleh melihat pada material kain kerana batik Malaysia hanya menggunakan kain kapas dan sutera berbanding batik cetak yang menggunakan fabrik sintetik,” katanya.

Tingkat kesedaran

Biarpun situasi ini memberi cabaran besar kepada industri batik Malaysia, pelbagai program kesedaran sudah dijalankan oleh Kraftangan Malaysia termasuk jerayawara bagi menyebarluaskan maklumat mengenai batik.

Kakitangan Kraftangan Malaysia menunjukkan demonstrasi Batik Alternatif menggunakan teknik terap dan penggunaan bahan tanah liat ketika sesi bersama pengamal media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini. gambar BERNAMA
Kakitangan Kraftangan Malaysia menunjukkan demonstrasi Batik Alternatif menggunakan teknik terap dan penggunaan bahan tanah liat ketika sesi bersama pengamal media sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini. gambar BERNAMA

Kempen itu yang meliputi demonstrasi interaktif, turut membabitkan peringkat sekolah melalui program cakna kraf bagi mendedahkan seni batik kepada pelajar sedari awal.

Sungguhpun begitu, ‘Ainu Sham melihat inisiatif kerajaan mewajibkan pemakaian baju batik Malaysia dalam kalangan penjawat awam dapat memartabatkan lagi industri batik negara.

Dasar itu juga katanya, dapat membantu melonjakkan jualan pengusaha batik negara, termasuk 815 usahawan batik yang berdaftar dengan agensi tersebut.

Hakikatnya, harga batik Malaysia tidak menjadi isu jika setiap ahli masyarakat mempunyai semangat patriotik dan kecintaan yang tinggi, bukan sahaja terhadap negara tetapi juga dalam mempertahankan khazanah warisan yang tidak ternilai harganya ini.

Semuanya bergantung pada diri sendiri, sama ada mahu 'melabur' sedikit bagi memastikan industri batik Malaysia yang sudah bertapak sejak lebih empat dekad lalu terus subur, atau dibiarkan berkubur secara perlahan-lahan ditewaskan oleh batik cetak yang begitu mudah diperoleh. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Gaya 1 tahun yang lalu

Kraftangan Malaysia Rancang Pertunjukan Fesyen Di Dubai

2

Budaya 1 tahun yang lalu

Anugerah Kraf Bakar Semangat Untuk Terus Promosi Kebudayaan Malaysia Di India

Sorotan

1

Belum Sempat Sampai Rumah Dari KLIA, Suami Sarjan Faridah Terima Berita Pemergian Isteri

2

Selangor Tewaskan KDA FC 1-0, Bergema 'Siu' Di MBPJ

3

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jenazah 2 Anggota Polis Dibawa Keluar Dari HSI

4

Gagal Jelaskan Hutang RM4.96 Juta, Jovian Apparel Disaman

5

Kelantan Gagal Sekat Sabah FC Bawa Pulang 3 Mata Dari Kota Bharu

6

Perbuatan 6 Bekas Penuntut UPNM Dera, Buli,  Melampau - Pendakwaan