Berita Terkini

13 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Keluarga, Antara Faktor Dorong Individu Jadi Pembuli

Rencana Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 18 Nov 2021 1:49PM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Masyarakat perlu proaktif dengan kes buli atau dera dan tidak lagi beranggapan insiden ini sebagai perkara biasa, demikian pandangan Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria.

Menurut beliau, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 mendapati, satu dari enam remaja terlibat menjadi mangsa buli dan lelaki lebih banyak terlibat dalam kes sebegini, berbanding wanita. 

Kes buli juga paling banyak berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan satu iaitu 23 peratus dengan bentuk buli paling lazim adalah kecam badan atau body shaming.

"Ia perlu dicegah sedari awal bagi mengelakkan kesan yang lebih berterusan, antaranya dengan memperbaiki mekanisme yang sedia ada dalam pelaporan, sokongan dan pencegahan bagi semua jenis buli sama ada menerusi fizikal atau maya.

"Ibu bapa perlu memberi perhatian kepada perubahan emosi anak-anak. Jangan sesekali memperkecil pengalaman mereka sekalipun pada kita ia adalah isu yang remeh," katanya kepada Bernama, sambil menambah, Ibu bapa juga harus menyediakan ruang yang selamat untuk anak-anak berkongsi selain mengenalpasti individu berisiko untuk terlibat dengan gejala buli agar pencegahan dapat dilakukan.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Dr Rozanizam yang juga Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, perbuatan buli turut memberikan kesan trauma kepada emosi mangsa malah juga kepada si pelaku.

Untuk mangsa, selain fizikal, ia memberi kesan kepada kepercayaan mangsa terhadap orang lain, keyakinan diri dan pembentukan personaliti.

“Bagi kesan jangka pendek, ia boleh memberi kesan kepada gelaja trauma seperti imbasan trauma yang datang secara berulang, gangguan tidur, kemampuan untuk berhadapan dengan orang lain serta kemampuan untuk belajar.

"Untuk jangka masa panjang, mangsa lima kali lebih berisiko untuk mendapat masalah mental seperti kemurungan serta kebimbangan, berbanding remaja yang tidak dibuli. Mangsa lelaki lebih berisiko terlibat dengan kejadian mencederakan diri dan bunuh diri," katanya.

Bagi si pembuli pula, mereka turut berisiko mendapat kesan psikologi, terutama sekiranya mereka sudah sedar dengan implikasi perbuatan yang dilakukan.

“Perasaan bersalah dan menyesal boleh menghantui individu yang terlibat sehingga membawa kesan yang berpanjangan," tambahnya.

Banyak faktor yang mendorong perbuatan membuli, antaranya adalah faktor keluarga, rakan sebaya dan psikologi.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Fariza Md Sham dalam menjelaskan perkara ini kepada Bernama berkata, faktor psikologi berkait dengan pengalaman atau peristiwa yang pernah dilalui oleh individu tersebut.

"Individu terbabit mungkin pernah dibuli. Maka mereka juga menjadi pembuli kerana menganggap perkara ini biasa dan menyeronokkan. Selain itu, faktor psikologi juga berkait dengan personaliti yang dimiliki oleh individu pembuli seperti sifat agresif, tingkah laku negatif, penghargaan kendiri rendah, gangguan emosi dan sifat membalas dendam," katanya.

Dari sudut keluarga pula, perbuatan membuli juga ada kaitannya dengan gaya keibubapaan atau cara pendidikan yang diterapkan ibu bapa atau keluarga sejak si pembuli kecil.

Menurut Fariza, sekiranya pendidikan awal yang diterima daripada keluarga adalah dalam bentuk kekerasan seperti sering dipukul sejak kecil, maka individu tersebut bila menjelang remaja atau dewasa juga akan cenderung untuk bersifat kasar dan keras seterusnya boleh menjadi pembuli.

Beliau yang juga pakar Psikologi Dakwah Remaja itu berkata, psikologi remaja adalah rapuh dan disebabkan itu jiwa mereka mudah memberontak. 

“Pengalaman serta peristiwa dalam hidup yang dilalui ketika mereka kecil akan mempengaruhi personaliti dan tingkah laku remaja pada masa akan datang. Sekiranya remaja dibesarkan dalam persekitaran yang harmoni, toleransi,kasih sayang dan prihatin, maka remaja akan mempunyai sahsiah dan tingkah laku yang baik dan boleh mengawal emosi.

"Oleh itu pembentukan personaliti dan tingkah laku yang baik sangat penting dibentuk sejak awal kanak-kanak. Pembentukan ini memerlukan persekitaran yang positif. Kita ambil iktibar dari sejarah  Rasulullah SAW yang dibesarkan dalam persekitaran yang baik di perkampungan Bani Saad ketika di usia kecil jauh daripada hiruk pikuk kota yang masyarakatnya hidup dalam suasana jahiliah dan kurang baik," katanya.

Kisah Rasulullah ini, kata beliau, menunjukkan untuk perkembangan psikologi, mental dan fizikal, anak-anak memerlukan persekitaran yang baik serta positif agar jiwa yang terbentuk adalah baik, penuh kasih sayang serta saling menghargai.

Ketika ditanya kewajaran program yang berunsurkan buli dihentikan terutama hal yang menghimpunkan antara pelajar senior dan pelajar junior, Fariza berkata, secara umumnya program orientasi atau minggu suai kenal di sekolah atau universiti mempunyai tujuan yang baik, iaitu untuk membantu pelajar baharu mengenali dan membuat penyesuaian diri dalam suasana baharu.

Bagaimanapun, apa yang menjadi isu ialah apabila terdapat sekumpulan atau individu yang menyalahi atau menyimpang dengan melakukan buli kepada pelajar baharu yang di luar atur cara program. 

"Ini yang menyebabkan program yang baik tercemar dengan perlakuan individu tertentu sehingga meninggalkan imej buruk terhadap program orientasi atau minggu suaikenal.

“Oleh itu, bagi mencegah tingkah laku buli berlaku, pihak pengurusan perlu memantau dan mengawal keadaan ini daripada berlaku aktiviti buli dengan mengisi program yang berbentuk mendidik jiwa dan hati sama ada untuk pelajar junior mahu pun pelajar senior, ” katanya.

Menurut beliau, aktiviti yang menjurus ke arah seperti membuli sememangnya dilarang sama sekali, namun terdapat kumpulan pelajar senior yang berlagak samseng dan mengugut pelajar sekiranya tindak-tanduk mereka dilaporkan kepada pihak pengurusan.

"Pihak pengurusan bukan hanya menunggu laporan daripada pelajar, malah perlu mengambil tindakan tegas sejak awal lagi untuk mencegah perbuatan buli serta kewujudan kumpulan pelajar samseng di sekolah atau universiti.

"Saya yakin jika ada tindakan tegas dan pelajar diberi bimbingan rohani dan jiwa serta diisi dengan program yang membina jati diri, Insya-Allah perkara buli dapat ditangani," katanya.

Antara insiden buli yang paling menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia sudah tentunya nasib malang yang menimpa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Mengulas kes buli Zulfarhan Osman, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fariza Md Sham berkata, ia bukan pertama kali kes buli hingga membawa kematian kerana kes sedemikian sudah seringkali didengar sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti.

"Tetapi, sikap kita ialah seperti pepatah Melayu ” sudah terhantuk baru tengadah.”. Dalam apa-apa isu pun inilah sikap pengurusan, ibu bapa dan masyarakat. Apabila ada yang telah cedera teruk atau mati baru hendak ambil tindakan, itu pun bersifat sementara. Setahun kemudian semua lupa dan kes berulang lagi," katanya

Beliau berkata, apa yang menjadi masalah ialah tiada pelan tindakan jangka panjang yang dapat mencegah hal tersebut. - Bernama

Sorotan

1

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

2

Pasangan Suami Isteri, 2 Lelaki Didakwa Perdagang Wanita Malaysia Di Peru

3

Ada Keperluan Pinda Seksyen 21 Akta Polis - KPN

4

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

5

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

6

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis

7

Bas Terbalik Di Lebuhraya KLK: 2 Maut, 13 Cedera