web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Pemandu Lori Raih Rezeki Tambahan Jual Pelita Buluh

Mohamad Azmizan Abdul Ghani tidak menyangka keunikan pelita buluh buatannya itu telah mencuri perhatian ramai dan mereka memintanya untuk membuka tempahan kerana ia sukar didapati di pasaran pada masa ini.

Refleksi Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 12 Apr 2022 4:30PM

Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 38, melakukan pembungkusan beberapa batang pelita buluh yang telah ditempah oleh pelanggan. Gambar: Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kerinduan terhadap nostalgia Ramadan zaman kanak-kanak memberi cetusan idea kepada seorang pemandu lori untuk membuat pelita buluh bagi menggantikan lampu hiasan, serta menambah seri rumahnya pada waktu malam sepanjang bulan yang mulia ini.

Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 38, berkata dia bagaimanapun tidak menyangka keunikan pelita buluh buatannya itu telah mencuri perhatian ramai dan mereka memintanya untuk membuka tempahan kerana ia sukar didapati di pasaran pada masa ini.

"Saya mula buat sendiri pelita buluh ini pada Ramadan tahun lepas untuk mengisi masa lapang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di seluruh negara ketika itu.

"Apabila saya muat naik gambar dan video di Facebook dan WhatsApp, ramai yang puji pelita buluh itu sangat cantik dan unik. Saya dapat tempahan 500 batang buluh sepanjang Ramadan tahun lepas dan kini, saya semakin serius mengusahakannya sebagai sumber pendapatan kedua," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya dekat Kampung Merchang, Marang.

Bagi melancarkan jualan pelita buluhnya, Mohamad Azmizan turut dibantu isterinya, Rorida Awi, 38, dalam urusan tempahan dan rakannya Mohd Zulbaidillah Dzulkifli, 36, untuk menebang ‘buluh minyak’ di sekitar kampung tersebut.

Kebiasaannya, Mohamad Azmizan dan Mohd Zulbaidillah akan keluar mencari buluh minyak di tanah milik penduduk kampung pada waktu pagi dan lewat petang.

Namun, menurut Mohamad Azmizan keadaan cuaca yang tidak menentu pada Ramadan kali ini agak mencabar, ditambah terpaksa berhadapan ancaman haiwan berbisa seperti ular dan lipan yang sering menjadikan rongga buluh sebagai 'habitat semula jadi' haiwan itu.

"Biasanya, kami cari buluh selama dua jam dan jika lebih banyak tempahan, lebih banyak masa diperlukan. Selain orang perseorangan, ada juga yang membeli secara borong untuk menjualnya semula.

"Pelanggan paling jauh yang pernah buat tempahan setakat ini ialah dari Sarawak dan selatan tanah air dan biasanya saya akan beri mereka nombor telefon pengusaha pelita buluh yang berdekatan untuk berkongsi rezeki," katanya yang sering menggunakan khidmat rakan-rakan pemandu lori untuk penghantaran pelita buluhnya.

Bapa kepada dua anak itu berkata harga pelita buluh yang dijualnya adalah sangat berpatutan iaitu RM10 sebatang (tanpa kaki) manakala RM13 sebatang (dengan kaki) dan setiap batang buluh mempunyai tiga ruas dengan enam sumbu api pelita.

Setakat ini (hari keenam Ramadan), beliau telah mendapat tempahan lebih 300 batang pelita buluh termasuk daripada peserta pertandingan 'pelita raya' yang sering dianjurkan kerajaan Terengganu setiap kali Ramadan.

"Ramai yang pelik kenapa saya jual murah sangat, tapi ikhlas saya beritahu kerana modal utama (buluh minyak) sangat mudah didapati di sekitar kampung ini...paling penting saya ingin semua pembeli merasai keceriaan dan keseronokan menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan hiasan lampu tradisional ini.

"Selain itu, niat saya nak perkenalkan semula tradisi lama nenek moyang kepada generasi muda dan saya turut ajar pembeli cara pasang sumbu dan nasihatkan mereka agar tidak mendedahkan pelita di kawasan terlalu panas atau kerap hujan agar ia tahan lama dan boleh digunakan sehingga tiga kali Ramadan," katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 5 hari yang lalu

Wanita Putus Kaki Dalam Kemalangan LPT2 Meninggal Dunia Di Hospital

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Pemandu GTI Didakwa Sebabkan Kematian Remaja

3

Semasa 2 minggu yang lalu

Kemalangan Maut Di Pelantar Minyak: ‘Hanya Allah Yang Tahu Perasaan Saya Ketika Ini’ - Isteri Mangsa

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Kemalangan Di Pelantar Minyak: PETRONAS Sahkan 3 Maut

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan