web statsweb stats

Berita Terkini

4 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 4 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Hukum Bersunat Bagi Perempuan, Boleh Atau Tidak?

Menjawab kekeliruan tentang hukum berkhatan bagi kanak-kanak perempuan menurut syariat Islam.

Refleksi Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Feb 2022 9:09AM

Gambar Hiasan, Pexels

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Baru-baru ini gempar tentang isu berkhatan (bersunat) bagi kanak-kanak perempuan di media-media sosial utama. 

Ada golongan yang menentang perbuatan berkhatan bagi kaum hawa ini dengan alasan hak asasi manusia dan penindasan terhadap wanita.

Ada juga yang menuduh perbuatan ini kejam kerana melibatkan pencacatan alat sulit wanita (female genital mutilation) secara kekal kepada si penerimanya.

Isu-isu ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat muslim, khususnya. 

Apakah perbuatan berkhatan bagi kaum wanita ini dibenarkan dalam hukum Islam? Dan adakah ia disyariatkan kepada seluruh umat Islam?

Sebenarnya, isu ini bukanlah isu baharu yang dipertikaikan oleh warganet. 

Pada 20 Oktober 2016, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sudahpun menjawab segala persoalan tentang isu berkhatan bagi golongan wanita ini.

Sejarahnya, perbuatan berkhatan bagi golongan wanita sudah menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat Arab sejak dahulukala.

Amalan ini dijalankan dan diiktiraf oleh Rasullulah SAW sendiri pada zaman baginda, di samping meletakkan beberapa kaedah.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia daripada orang-orang musyrik.

Surah al-Nahl, (16:123)

Demikian, terdapat juga satu hadis di mana Nabi Ibrahim AS telah melaksanakan khatan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ

Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim

Hadis ini turut disokong oleh hadis daripada Humaid bin Bilal, Rasullulah SAW bersabda:

وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

Maksudnya: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.

Hadis riwayat Imam Muslim

Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa wanita juga berkhatan, bukan hanya golongan lelaki. 

Dalam mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat masyhur dan seperti yang diputuskan oleh Imam al-Syafie.

Pun begitu, Imam al-Rafie ada menyebutkan suatu pendapat dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetapi pendapat ini dianggap syadz (ganjil).

Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ia sunat. (Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi)

Gambar Hiasan, Pexels
Gambar Hiasan, Pexels

Adapun, telah timbul isu dalam kalangan masyarakat tentang khatan wanita itu mencacatkan anggota dan ia tidak disyariatkan di dalam Islam.

Meja Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya (bersunat) bukan Islam.

Antara faktor lain seperti kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan ini secara melampau, sehingga mencacatkan fungsi alat sulit wanita berkenaan.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis.

“Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke-21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had yang disepakati dalam syarak.

“Iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil selain kalangan bidan.

“Dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan,” jelas al-Qaradhawi.

KESIMPULAN

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bersepakat mentarjihkan (memberatkan) pendapat hukum berkhatan bagi lelaki dan wanita adalah wajib.

Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).

Bagi perempuan, bahagian kulit di atas saluran kencing atau klitoris.

Namun, sunat bagi perempuan hanya dinipiskan atau dikemaskan sahaja. Jangan memotong melampau-lampau seperti kaedah pencacatan alat sulit wanita sehingga merosakkan klitoris.

Bahkan, perbuatan pencacatan alat sulit wanita itu diharamkan dalam Islam. 

Ini berdasarkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah berikutan pelaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum hawa di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepadanya:

لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ

Maksudnya: Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.

Hadis riwayat Imam Abu Daud

Sebagi penutup, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan begitulah caranya mengkhatankan lelaki dan wanita yang betul. 

Hendaklah kita bersikap adil dan tidak cenderung kepada mereka yang menzalimi wanita dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan syariat Islam. – Getaran, 11 Februari 2022

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 tahun yang lalu

Cuti Persekolahan Dimanfaatkan Untuk Program Berkhatan Beramai-Ramai

2

Semasa 2 tahun yang lalu

'Pelamin Anganku Musnah', Pengantin Perempuan ‘Lesap’ Dengan Wang Hantaran

3

Semasa 3 tahun yang lalu

Ziarah Aidilfitri Berakhir Tragedi, Cucu Maut Di Kolam Renang Rumah Datuk

4

Semasa 3 tahun yang lalu

Perbaiki Sesi PMQ, Wajibkan Ketua Pembangkang Diberi Slot Soal PM

Sorotan

1

Masa Depan Johor Dan M’sia Bergantung Kepada Generasi Berilmu, Bijaksana Dan Amanah - PM

2

Tun M Sambut Ulan Tahun Kelahiran Ke-101

3

Suspek Kes Tikam Rakan Sekolah Didakwa Di Mahkamah

4

‘Bakal Pemimpin Kerajaan Negeri Bebas Rasuah Jika PH Menang’ - Dr Maszlee

5

‘Hapuskan Politik Perkauman, Bila Islam Ajar Kita Hina Orang?’ - PM

6

PRN Johor: Lebih 300,000 Pengundi Luar Dijangka Pulang Mengundi