Keletihan yang dialami oleh setiap manusia mendorong tubuh badan untuk berehat. Tidur adalah aktiviti merehatkan badan dan minda yang kebiasaannya dilaksanakan pada waktu malam atau selesai melakukan aktiviti seharian.
Ada pelbagai perkara yang dilakukan manusia sebelum tidur. Namun dari perspektif Islam, sunah Nabi Muhammad SAW adalah teladan terbaik yang patut dicontohi manusia.
Segmen Refleksi hari ini ingin berkongsi lima sunah Rasulullah SAW yang diamalkan sebelum masuk tidur.
Berwuduk Sebelum Tidur

Mengambil wuduk sebelum tidur akan memberikan ketenangan dan keyakinan bahawa tubuh badan seseorang Muslim berada dalam keadaan bersih dan suci.
Selain itu, apabila kita tidur, tubuh kita sedang berada dalam keadaan setengah mati. Andai takdir Allah mencabut nyawa ketika tidur, wuduk membantu tubuh badan kita berada dalam keadaan bersih dari hadas.
((Malah malaikat juga akan mendoakan kepada anda yang berwuduk sebelum tidur.)) Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ
Maksudnya: Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudukmu untuk melakukan solat.
Riwayat Al-Bukhari (247), Muslim (2710) & Abu Daud (5046)
Menjaga Kebersihan Tempat Tidur

Tempat tidur adalah ruang yang kerap kali digunakan untuk kita berehat. Kebersihannya perlu dijaga bagi mengelakkan badan anda menghidap penyakit atau dihinggapi serangga berbahaya.
Pastikan katil dan tilam dibersihkan daripada debu terutamanya pada bantal dan tilam kerana itu adalah amalan yang dilakukan Rasullulah sebelum tidur.
إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ
Maksudnya: Jika salah seorang dari kamu ingin mendatangi tempat tidur kamu, maka ambillah sebahagian kain lalu dikibaskannya (bagi membersihkan tempat tidur itu)
Riwayat Muslim (2714)
Membaca Doa

Amalan berdoa adalah perkara yang dilakukan oleh semua umat manusia yang mempercayai kewujudan Tuhan, tidak kira bangsa dan agama.
Bacaan doa ketika hendak tidur adalah perkara yang elok diamalkan khasnya bagi para Muslimin serta Muslimat dan bagi ibu bapa, disarankan untuk melatih anak-anak supaya menjadikannya rutin mereka.
Tidur seperti antara keadaan sedar atau tidak untuk kita dan kita tidak mempunyai kekuasaan untuk mengawal apa-apa semasa tidur. Itulah antara sebab mengapa seeloknya kita membaca doa sebelum tidur, seperti yang dianjurkan oleh Rasullullah SAW.
Bacaan doa tidur menurut Sahih Muslim 2714
بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: Dengan nama-Mu Tuhan aku meletakkan lambungku Dan dengan Nama-Mu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tetapi apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.
Membaca 3 Qul Dan Ayat Kursi

Baginda Rasulullah SAW juga mengamalkan bacaan surah tiga Qul dan disusuri dengan bacaan Ayat Kursi. Bacaan-bacaan ini dapat mengelakkan daripada diganggu syaitan, sihir dan perihal kejahatan yang mungkin menimpa anda ketika tidur.
Ia berdasarkan hadis Nabi SAW daripada Aisyah R.Anha:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada kedua tangannya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua telapak tangannya itu ke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala, muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.
Memaafkan Kesalahan Orang Lain

Kadangkala terdapat hari yang anda diuji oleh orang lain dalam kehidupan seharian sehingga sukar untuk memaafkan diri mereka. Sunah baginda sebelum tidur ialah memaafkan kesalahan orang lain setiap hari.
Ini akan membantu diri anda mendapat ketenangan minda dan mengelakkan diri daripada menyimpan perasaan dendam. Justeru anda diharapkan dapat memulakan keesokan hari dengan ceria dan aman.
Seperti tertulis di dalam Al-Quran:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
Bermaksud: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Al Hasyr: 10)
Maka jadikanlah sunah-sunah Rasulullah SAW ini sebagai rutin anda. Ia akan membantu anda untuk mendapat tidur yang sempurna seterusnya memulakan hari berikutnya dengan penuh bersemangat dan diberkati Allah. - Getaran, 10 Disember 2021