web statsweb stats

Berita Terkini

3 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Jadikan 'Surat Cinta' Rasulullah SAW Asas Hijrah Ketika Pandemik

Berbekalkan 'surat-surat cinta' yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah SAW, ujian hidup kita di zaman pandemik ini boleh menjadi sumber motivasi terkukuh untuk kita.

Refleksi Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 17 Sep 2021 5:31PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hijrah merupakan suatu perjuangan yang bukan sahaja memerlukan kesanggupan. Malah lebih dari itu hijrah memerlukan semangat, kekuatan jiwa dan pengorbanan. 

Jika ditelusuri kisah penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat, penghijrahan yang dimulakan pada bulan Safar tersebut bukanlah suatu kebetulan. Begitu banyak cabaran dan halangan yang perlu dilalui bagi melakukan penghijrahan tersebut.

Pelbagai usaha dilakukan oleh kaum musyrikin Makkah untuk menggagalkan penghijrahan umat Islam ke kota Madinah.

Ada di antara para sahabat yang telah dipisahkan daripada isteri dan anak-anak lalu terpaksa meninggalkan kota Makkah tanpa keluarga tercinta.

Ada juga umat Islam yang dirampas harta dan akhirnya terpaksa keluar dari kota Makkah tanpa sebarang harta. Namun, halangan tersebut sama sekali tidak melunturkan semangat penghijrahan. 

Kita tahu bahawa semuanya telah direncanakan dengan begitu teliti oleh baginda Nabi SAW bersama para sahabat.

Bermula dari pemilihan kenderaan dan tempat persinggahan, sehinggalah kepada bantuan individu yang berkepakaran sebagai penunjuk jalan.

Malah Nabi SAW juga telah membuat persediaan lebih awal sebelum itu melalui pembinaan jaringan perhubungan yang baik dengan penduduk Madinah yang datang ke Makkah. 

Ketika perjalanan hijrah dimulakan, kita begitu kagum apabila sepupu baginda Nabi SAW, Ali bin Abi Talib, sanggup untuk menggantikan tempat peniduran Nabi SAW sewaktu baginda keluar bersama Abu Bakar pada waktu malam.

Keberanian yang sama turut ditunjukkan oleh Asma’ binti Abu Bakar yang telah bertungkus-lumus menyediakan bekalan makanan dan membawanya ke Gua Thur supaya baginda Nabi SAW dan ayahandanya Abu Bakar Al-Siddiq tidak kelaparan di tempat persembunyian mereka. 

Kesemua ini adalah semangat, keberanian dan pengorbanan besar yang telah dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat bagi menjayakan peristiwa hijrah dari kota Makkah ke kota Madinah.

Walau bagaimanapun, bukan hanya sekadar ini yang boleh dipelajari. Umat Islam juga harus sedar bahawa kesemua ini tidak dapat berlaku tanpa adanya faktor motivasi atau dorongan yang cukup kukuh. 

Umat Islam pada ketika itu benar-benar ingin melihat diri dan maruah mereka terbela. Keperitan seksaan yang dikenakan terhadap umat Islam ketika di Makkah membuatkan mereka begitu tekad untuk menyelamatkan diri tanpa perlu meninggalkan agama Islam.

Kecintaan kepada agama Islam membuatkan mereka juga benar-benar ingin melihat Islam terus berkembang dan kuat sehingga tidak lagi dapat diperkotak-katikkan.

Kesedaran dan keyakinan kepada Allah dan janji-janji-Nya juga begitu kukuh terpahat di dalam jiwa masing-masing. Inilah sumber motivasi para muhajirin pada ketika itu. Ianya telah ditanam dari awal permulaan baginda Nabi SAW berdakwah kepada penduduk Makkah. 

Umat Islam pada hari ini tidak dapat melihat wajah Nabi SAW walaupun mempunyai mata. Kita juga tidak dapat mendengar bait-bait kata semangat dari baginda, biar pun kita mempunyai telinga.

Hal ini kerana kita hidup di zaman yang terlalu jauh dari zaman Nabi SAW. Ketiadaan ini mungkin membuatkan kita kehilangan separuh kekuatan jiwa.

Apatah lagi berada di akhir zaman ini, pelbagai ujian dan peringatan yang diturunkan oleh Allah kepada kita membuatkan kita terfikir alangkah indahnya jika Nabi SAW masih bersama.

Pasti baginda dapat menunjukkan jalan kebenaran dalam pelbagai masalah dunia hari ini. Memimpin dunia dengan penuh kewibawaan seterusnya sentiasa dapat memberikan motivasi melalui janji-janji Allah SWT. 

Namun, umat Islam tidak seharusnya begitu lemah. Baginda Nabi telah meninggalkan al-Quran dan al-Hadis sebagai 'surat cintanya' kepada kita semua. 

Hari ini bumi Malaysia diuji dengan pandemik COVID-19. Khabar kematian ahli keluarga, sahabat dan rakan-rakan yang silih berganti seharusnya telah cukup untuk menginsafkan diri kita.

Berbekalkan 'surat-surat cinta' yang ditinggalkan oleh baginda Nabi SAW, ujian ini boleh menjadi sumber motivasi terkukuh untuk kita.

Sekiranya sebelum ini kita ingin berhijrah namun sering tersungkur, inilah masanya untuk kita bangkit kembali meneruskan semangat penghijrahan tanpa menoleh ke belakang lagi.

Melihat semula ke dalam diri tentang apakah yang masih perlu dilakukan sebagai bekalan untuk berpindah ke suatu alam yang kekal abadi. 

Kisah penghijrahan baginda Nabi SAW bersama para sahabat perlu dipelajari. Berbekalkan al-Quran dan sunnah, kita perlu merancang strategi penghijrahan yang teliti dari segala segi.

Jika Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah berputus asa untuk menjayakan hijrah, kita juga seharusnya tidak boleh berputus asa. Memperbaiki pemikiran dan memperkukuhkan keyakinan kita kepada janji-janji Allah SWT.

Tidak sedikit khabar gembira yang Allah berikan di dalam 'surat cinta-Nya' untuk kita yang tidak pernah berputus asa mendekatkan diri kepada-Nya.

Oleh itu, bersiaplah sebaiknya dengan melakukan sebanyak mungkin amalan yang dapat membantu kita di akhirat kelak.

Bukalah semula tulisan para asatizah yang telah sekian lama memberikan rujukan terbaik kepada kita dan bermujahadahlah dalam memperbaiki diri. 

Di samping itu, umat Islam juga perlu sentiasa menjaga hubungan sesama manusia.

Jika Rasulullah SAW berdamai dan bersahabat baik dengan penduduk Madinah dalam persediaan mencapai kejayaan hijrah, kita juga harus melatih diri untuk sentiasa berdamai dengan sesama manusia.

Memujuk jiwa untuk sentiasa memaafkan, berkasih sayang dan saling membantu kerana Allah SWT. Tinggalkan hasad, dengki, sangkaan buruk dan permusuhan yang hanya sia-sia.

Ingatlah bahawa janji Allah itu benar.

Firman-Nya di dalam surah Fussilat ayat 30: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata “Tuhan kami adalah Allah”, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan kepadamu”.

- Getaran, 17 September 2021



 

---

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

Semua gambar: Gambar Fail

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 minggu yang lalu

Haji: Pneumonia Penyakit Utama Dikesan, Petugas Perubatan Hadapi Fasa Getir Menjelang Masyair

2

Semasa 1 tahun yang lalu

11 Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci Setakat Ini

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Jemaah Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci Akibat Serangan Jantung

4

Semasa 1 tahun yang lalu

5,526 Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba Di Tanah Suci - Ketua Rombongan

Sorotan

1

Pemandu Lori Nahas Maut Karak Miliki 15 Rekod Saman

2

Kerugian Jenayah Siber Cecah RM3 Bilion, Penipuan Dalam Talian Meningkat 87 Peratus

3

Tragedi Zaid Ibrahim; Ahli Politik Yang Berhutang Penjelasan

4

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

5

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

6

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori

Disyorkan untuk anda

Gaya 1 hari yang lalu

Skin Turnover Protocol, Pendekatan Baharu Untuk Kulit Sihat Dan Menawan

oleh Rahayu MN