KUCHING - Ketika rakyat masih berteka-teki mengenai calon Perdana Menteri kesembilan, rakyat Sabah dan Sarawak pula meletak harapan yang tinggi untuk melihat jawatan Timbalan Perdana Menteri menjadi milik pemimpin dari Kepulauan Borneo itu.
Penganalisis Politik, Datuk Peter Minos berkata, perkara itu jika menjadi kenyataan pastinya menjadi satu lembaran sejarah buat kedua-dua negeri berkenaan.
Menurut beliau, tidak salah untuk meletakkan harapan, apatah lagi perkara ini sememangnya amat dinantikan.
“Tidak salah untuk kita meletakkan harapan, rakyat di Sabah dan Sarawak sudah pastinya mengalu-alukan perkara ini.
“Sudah tiba masanya jawatan Timbalan Perdana Menteri ini diberikan kepada anak Sabah atau Sarawak,” katanya di sini.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing semalam mencadangkan supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi kabinet baharu diisi oleh Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri terbabit.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pelantikan berkenaan jika berlaku, bermakna ia adalah yang pertama buat dua negeri Malaysia Timur itu.
“Jika Timbalan Perdana Menteri dilantik dari kalangan rakyat Sarawak, individu berkenaan harus ada kuasa untuk membantu Sarawak dan Sabah dalam apa sahaja perkara berkaitan pemulihan dan pengembalian penuh terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini adalah perkara yang menjadi tumpuan utama seluruh rakyat disi sini sejak sekian lama,” katanya.
Pelantikan itu juga jelas beliau, membolehkan isu perolehan dana dari Petronas dapat didengari pada skala lebih besar.
“Jangan kita lupa pada fakta bahawa lebih 70 peratus pendapatan dan keuntungan dijana Petronas datang dari gas dan minyak yang ditemui di Sarawak serta Sabah,” katanya. - Getaran, 20 Ogos 2021
