KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurut Rafizi, peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi itu berkuatkuasa 17 Jun depan.
Katanya, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini sehingga 16 Jun nanti.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya.
Jelas Rafizi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemenang untuk mengambil tempat di dalam kerajaan dan ia sudah menjadi amalan di negara demokrasi sejak sekian lama.
“Amanah terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi telah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya.
“RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu turut melahirkan harapan agar Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepada saya sepanjang saya di sini.
“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan,” katanya.
Rafizi menarik perhatian, beliau optimis semua program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.
“Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pihak media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi.
“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” katanya.
Pada pertarungan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR 23 Mei lalu, Rafizi tewas di tangan Nurul Izzah Anwar yang menang bergaya dengan jumlah selesa.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memungut 9,803 undi berbanding Rafizi yang hanya meraih 3,866 undi. - Getaran, 28 Mei 2025

